'Pengampunan Najib, jangan salahkan Agong’ - Latheefa Koya

Tangkap layar hantaran Latheefa menerusi platform X pada Isnin.
Tangkap layar hantaran Latheefa menerusi platform X pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menyelar kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan mengurangkan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak pada Isnin.

Latheefa berkata, Anwar tidak sepatutnya menuding jari kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini kerana dari segi perundangan, Seri Paduka Baginda terikat dengan nasihat daripada Lembaga Pengampunan.

Latheefa mendakwa bahawa nasihat tersebut jelas adalah untuk mengurangkan hukuman yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

“Jangan salahkan Yang di-Pertuan Agong. Baginda terikat dengan nasihat Lembaga Pengampunan.

“Perkara 40(1A) Perlembagaan adalah jelas Agong ‘akan menerima’ nasihat. Apabila Lembaga Pengampunan memberi nasihat, baginda terpaksa menerima.

“Nasihat itu jelas adalah untuk mengurangkan hukuman. Jadi, berhenti pusing fakta (spinning’),” katanya dalam hantaran di platform X pada Isnin.

Pada Isnin, Anwar meminta supaya semua kritikan dan kecaman berhubung keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman terhadap Najib dihentikan.

Anwar turut menggesa agar keputusan itu dihormati kerana ia bukan sahaja dibuat berlandaskan undang-undang, malah atas belas ihsan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Lembaga Pengampunan mengumumkan untuk membebaskan Najib lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Kenyataan yang dikeluarkan Urusetia Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri itu turut memaklumkan, Lembaga Pengampunan turut mengurangkan denda yang perlu dibayar Najib iaitu hanya RM50 juta berbanding RM210 juta sebelum ini.