Op Selamat 21 Raya Cina: 11 lokasi perangkap had laju di Selangor

Hussein ketika Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Plaza Tol Puchong Selatan, pada Isnin. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hussein ketika Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Plaza Tol Puchong Selatan, pada Isnin. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PUCHONG - Sebanyak 11 lokasi operasi perangkap had laju ditetapkan pada Op Selamat 21 sempena perayaan Tahun Baharu Cina bermula Khamis sehingga 13 Februari di Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah kekuatan keanggotaan yang akan diatur gerak dalam Op Selamat 21 adalah seramai 61 pegawai kanan dan 432 anggota selain aset 42 kereta dan 89 motosikal.

Menurutnya, selain lokasi perangkap had laju, polis Selangor turut melaksanakan Op Lancar di beberapa lokasi di lima daerah.

"Daerah yang terlibat ialah Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Serdang dan Klang Utara melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Plaza Tol Gombak, Jalan Kuala-Ipoh di Kilometer 30, Jalan Klang-Teluk Intan, pekan Kuala Selangor ke Tanjung Karang dan Jalan Kuala Selangor-Rawang (lampu isyarat susur Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor).

"Selain itu Jalan Kuala Lumpur- Ipoh (lampu isyarat di Batang Kali) dan Klang -Teluk Intan di pekan Kapar serta di Plaza Tol Sungai Besi di Serdang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Plaza Tol Puchong Selatan di sini pada Isnin.

Hussein ketika Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Plaza Tol Puchong Selatan pada Isnin. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hussein ketika Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Plaza Tol Puchong Selatan pada Isnin. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR), Sazally Saidi.

Hussein berkata, operasi selama enam hari itu untuk memastikan kelancaran lalu lintas dan pematuhan selain memastikan pengguna jalan raya selamat tiba ke destinasi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, Op Selamat 21 juga akan melaksanakan rondaan berkala dan berterusan di setiap daerah terutama di lokasi hotspot dan blackspot.

"Blackspot adalah kawasan yang mencatat kemalangan maut lebih tiga kes, manakala hotspot ialah kawasan sesak.

"Operasi ini turut melibatkan elemen khas seperti dron dan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pantau titik-titik kesesakan selain kerjasama kita dengan konsesi lebuh raya menerusi rakaman kamera serta agensi penguat kuasa lain," ujarnya.

Hussein berkata, orang ramai boleh menyalurkan maklumat sekiranya berlaku kemalangan dan kecemasan kepada bilik gerakan Trafik Bukit Aman di talian 03-22663356, hotline bilik gerakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor 03-55100559 atau hotline CCC Selangor 03-55145206.

Mengulas lanjut, kata beliau, aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) juga digalak untuk diguna oleh masyarakat yang meninggalkan kediaman ketika musim perayaan ini.

"Isi butiran di VSP secara online atau ke balai berdekatan mengenai maklumat rumah yang ditinggalkan agar kita dapat menyusun tugasan secara berkala dengan laksana rondaan lebih kerap bagi menutup segala ruang daripada berlaku kes pecah rumah dan sebagainya," ujarnya.