X

Kindly register in order to view this article
!

247 perokok di Selangor kena kompaun

Seorang perokok yang dikenakan kompaun ketika operasi penguatkuasaan larangan merokok dilaksanakan JKNS di Klang.
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 247 notis kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM51,200 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor terhadap perokok dalam operasi penguatkuasaan larangan merokok sehingga Sabtu lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, daripada jumlah itu, lapan notis kesalahan melibatkan perokok bawah 18 tahun dengan satu notis melibatkan pemilikan rokok elektronik.

Dr Sha’ari
Dr Sha’ari

Menurutnya, operasi penguatkuasaan larangan merokok dijalankan serentak melibatkan 344 pegawai yang diberi kuasa ke atas 1,091 premis di negeri ini sejak Rabu lalu.

“Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 (pindaan 2018),” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 52 notis kesalahan dengan jumlah kompaun bernilai RM13,000 dikeluarkan kepada pemilik premis mengikut Peraturan 12 (1)(a) dan 12 (1)(b) PPKHT 2004 kerana gagal memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok termasuk gagal mempamerkan larangan merokok secara jelas, menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok serta perkhidmatan menjual shisha kepada pelanggan.

“Daripada jumlah itu, 47 notis dikeluarkan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok, manakala selebihnya kerana menyediakan kemudahan merokok,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, mereka yang menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun sebanyak RM250 dan bagi perokok bawah 18 tahun dikompaun sebanyak RM50.

Katanya, jumlah kompaun boleh dikurangkan kepada RM150 bagi kesalahan kali pertama dan bayaran dijelaskan di mana-mana pejabat kesihatan daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh kompaun diterima.

"Bagaimanapun tiada pengurangan kompaun bagi kesalahan kali kedua dan pesalah boleh dikenakan kompaun RM350 jika kesalahan dilakukan kali ketiga antara Januari hingga Jun ini.

“Bermula Julai, tiada lagi tawaran kompaun diberikan sebaliknya tindakan pendakwaan akan diambil kepada perokok yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, perokok yang berhasrat berhenti merokok dialu-alukan mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan merokok mQuit di semua klinik kesihatan dan hospital seluruh negara dengan mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau hubungi talian 03-88834400 untuk maklumat lanjut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus