Jadikan Lembah Klang Raya sebagai Zon Ekonomi Khas - MB Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua dari kanan) berkenan melawat pameran pada Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang, pada Isnin. Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Datin Paduka Noraini Roslan (kiri). Foto Bernama
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua dari kanan) berkenan melawat pameran pada Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang, pada Isnin. Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Datin Paduka Noraini Roslan (kiri). Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan hasrat menjadikan Lembah Klang Raya sebagai Zon Ekonomi Khas.

Beliau berkata, inisiatif melibatkan empat bandar raya di Selangor iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang itu akan melonjakkan pelaburan seterusnya muncul sebagai gagasan ekonomi utama Asia Tenggara.

"Patik tidak lihat mengapa Lembah Klang Raya tidak mampu menandingi dan menjadi alternatif kepada Kota Singapura ataupun Greater Seoul dan Greater Tokyo.

"Patik akan berbincang dengan YAB Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) untuk Lembah Klang Raya diberikan status Zon Ekonomi Khas supaya potensi penuh keempat-empat bandar raya ini dapat direalisasikan," katanya ketika sembah ucapan pada Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di sini pada Isnin.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Klang sebagai MBDK berkuat kuasa 23 November tahun lepas.

Baginda turut mengumumkan pelantikan Datin Noraini Roslan sebagai Datuk Bandar MBDK mengikut Subseksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Sementara itu, Amirudin berkata, meskipun kawasan dalam Lembah Klang Raya merupakan bandar-bandar matang, usaha meremajakan kawasan berkenaan dapat menarik pelaburan dalam industri digital serta teknologi tinggi.

“Antaranya kecerdasan buatan (AI), pusat penempatan pusat-pusat data serta model bagi sistem pengurusan perkhidmatan kerajaan yang mengalihkan aspek pertindihan serta berteraskan pengurusan yang mampan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Amirudin, Lembah Klang Raya mempunyai 3.4 juta penduduk iaitu hampir 50 peratus daripada keseluruhan penduduk di Selangor dan lebih 10 peratus daripada jumlah penduduk di seluruh negara ini.

Beliau berkata, bandar raya Klang telah berkembang menjadi antara pusat ekonomi utama negara, selain sebagai pusat pentadbiran, industri serta pelancongan yang mencerminkan kekayaan lokaliti dan masyarakat yang berbilang budaya dan fahaman.

“Klang merupakan pelabuhan ke-12 paling sibuk di dunia dan kedua paling sibuk di Asia Tenggara. Apabila bertemu dengan para pelabur tempatan dan luar negara, patik sering kali menyebut bahawa Selangor adalah Gateway to ASEAN dan Klang dengan pelabuhannya adalah pintu masuk ekonomi Malaysia,” katanya. - Bernama