Tony Pua hanya sukarkan kerjasama UMNO-DAP - Shaiful Hazizy

Shaiful Hazizy, Tony Pua
Shaiful Hazizy, Tony Pua
A
A
A

ALOR SETAR - DAP perlu bertindak tegas terhadap bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua kerana individu seperti itu hanya akan menyukarkan kerjasama UMNO-DAP yang dimeterai bawah Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Tony Pua digesa keluar dari parti itu sekiranya tidak bersetuju dengan gabungan sedia ada.

"Jangan menjadi gunting dalam lipatan sehingga menjejaskan kerjasama baik UMNO-DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

“Orang seperti ini jika dibiarkan akan terus menerus menyukarkan kerjasama politik antara parti. Demi kemaslahatan Kerajaan Perpaduan dan kerjasama baik antara UMNO dan DAP, DAP perlu lakukan sesuatu.

“Mesej khas saya kepada Tony Pua, sudah-sudah lah jadi musuh dalam selimut kepada Kerajaan Perpaduan. Kenapa buat perangai tak semenggah begini,” katanya di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Tony Pua dilaporkan memuat naik tiga hantaran bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap diskaun hukuman diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lembaga Pengampunan memutuskan memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.

Artikel Berkaitan:

Bekas Setiausaha Publisiti DAP itu kemudian mengeluarkan kenyataan biadab seolah memperlekehkan keputusan Lembaga Pengampunan, dengan membuat kenyataan sinis meminta seseorang menghantarnya ke penjara selama setahun dan akan membayar RM50 juta sebagai pertukaran.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy mengingatkan Tony Pua agar meninggalkan cara politik lama DAP yang tidak menguntungkan.

“Sudah-sudah lah cuba cetuskan bibit kebencian terhadap sistem beraja. Cara ekstremis begitu sudah tidak diterima rakyat yang semakin waras dan bijak menilai tindakan pemimpin. Ingat lah pesanan saya ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, tindakan Tony Pua itu juga ibarat menagih publisiti murahan.

“Beliau ibarat ahli politik yang sudah hampir tarikh luput cuba jadi relevan semula dengan membuat kenyataan murahan untuk menarik publisiti murahan.

“Sindiran Tony Pua berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang memberikan pengurangan hukuman kepada Najib dilakukan dengan sengaja dan sangat tidak munasabah,” ujarnya.

Shaiful Hazizy menyifatkan perbuatan tersebut sebagai biadab dan kurang ajar yang dibuat oleh seseorang pemimpin dari parti komponen Kerajaan Perpaduan, dan ia sesekali tidak boleh diterima.

“Sebagai seorang yang sudah ‘seasoned’ dalam politik negara, sepatutnya Tony Pua tak perlu buat-buat bodoh dan tidak faham dengan konsep pengampunan diraja yang mana merupakan kuasa Raja-Raja.

“Ini menunjukkan beliau sama ada tidak faham mengenai perlembagaan atau memang tidak berperlembagaan langsung.

“Yang pasti, Tony Pua derhaka kepada institusi raja kerana berani mempersoalkan dan memperlekehkan keputusan Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Tony Pua juga perlu ‘sedar diri’ yang dirinya sudah tidak ada tempat dalam arena politik negara.

“Dalam pemilihan parti sendiri pun, Tony Pua kalah dalam semua jawatan dipertandingkan. Apa cerita?” soalnya sinis.