Najib jadi sohor kini, warganet mahu pencerahan

Poster dokumentari 'Man on the Run' yang ditayangkan dalam perkhidmatan penstriman Netflix turut dimuat naik di aplikasi X
Poster dokumentari 'Man on the Run' yang ditayangkan dalam perkhidmatan penstriman Netflix turut dimuat naik di aplikasi X
A
A
A

SHAH ALAM - Berita mengenai pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perbualan hangat di media sosial.

Ada yang memuji juga mengeji, namun itu tidak boleh menjadi kayu pengukur kepada pandangan orang ramai terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang memberi pengurangan 50 peratus hukuman penjara selain denda dikurangkan.

Najib menjadi 'trending' di aplikasi X apabila setakat 6.30 petang Jumaat, sebanyak 22,000 hantaran mengenai bekas Presiden UMNO itu ditulis oleh pengguna media sosial berkenaan.

Pengguna aplikasi itu dengan nama akaun @AbangJamil5 secara sinis berkata, "Rakyat kecewa Najib dapat diskaun penjara dan denda 50 peratus" manakala @ArifhazMhot menerusi hantarannya "Nak marah? Pun tiada guna, itulah lumrah orang yang mempunyai kuasa dan wang. Tak pernah wujud satu peraturan dan undang-undang yang betul-betul keras untuk rasuah. Begitulah kita sampai kiamat. Nak maki kerajaan buat apa?".

Sementara itu pelakon, Sharifah Amani (@sharifahamani) dalam hantarannya memuat naik poster dokumentari 'Man on the Run' yang ditayangkan dalam perkhidmatan penstriman Netflix, dengan kapsyen "Masih disiar dalam Netflix. Tengoklah sebelum kena tarik keluar awal," sindirnya.

Selain itu, ada juga seorang pengguna @wmf57 turut mahukan pencerahan daripada kerajaan dengan 'tag' akaun sosial Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Boleh cerita sikit mengapa hukuman Najib dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan dan di restui oleh Agong ke-16? Rakyat betul-betul berharap hukuman dia dikekalkan dan bukan dikurangkan. Apakah kes 1MDB akan dilepaskan oleh Peguam Negara," soalnya.

Sebelum itu, Urusetia Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan mengumumkan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!