Tidak laksana tugas, Ruhainies berdepan tindakan undang-undang

Ruhainies didakwa gagal menjalankan tugas sebagai duta produk.
Ruhainies didakwa gagal menjalankan tugas sebagai duta produk.
A
A
A

PELAKON Ruhainies bakal berdepan tindakan undang-undang selepas didakwa tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya sebagai duta produk kecantikan Aurebella Beauty.

Pengarah Urusan Aurebella Beauty yang juga pengasas bersama, Mohamad Aiman Hakim Nor Hashim berkata, aktres berusia 31 tahun itu telah dilantik menjadi duta salah satu produk mereka Mac lalu untuk tempoh enam bulan.

Bagaimanapun hanya selepas dua bulan menjadi duta, Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas membuat keputusan untuk menarik diri.

"Keputusan Ruhainies itu telah menyebabkan pihak syarikat mengalami kerugian dan menjejaskan reputasi kami selaku pengasas kerana apa yang kami rancangkan tidak berjalan lancar.

"Kami juga tidak berpuas hati dengan etika kerja Ruhainies. Cuma buat masa ini, saya tidak boleh mendedahkan apa tugas yang tidak dilaksanakan oleh dia," katanya dalam satu sidang akhbar pada Jumaat.

Tambah Aiman, selain menanggung kerugian ratusan ribu ringgit, keputusan Ruhainies juga telah menjejaskan kesihatan mentalnya selepas mengalami kemurungan yang sangat teruk.

“Tindakan Ruhainies telah merendahkan kredibiliti kami dan juga syarikat dan bagi kami ini adalah satu penghinaan yang jelas.

“Pengunduran Ruhainies menyebabkan syarikat kami mengalami kerugian daripada majlis pelancaran, produk yang telah dicetak nama Ruhainies dan juga jualan daripada master stokis yang bersetuju untuk bersama kami,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Atas sebab itu, Aiman berkata, pihaknya menuntut dua perkara daripada pelakon itu iaitu membayar ganti rugi berserta permohonan maaf secara terbuka.

"Tindakannya telah menjejaskan nama baik kerana menarik diri tidak sampai dua bulan menjadi duta.

"Saya bukan nak burukkan dia tetapi ini adalah pengajaran kepada Ruhainies dan selebriti lain untuk tidak memperkotak-katikkan usahawan lain.

"Bekerjasamalah secara profesional," ujarnya yang tidak serik untuk menjalinkan kerjasama dengan selebriti lain pada masa akan datang.