KKM bakal ambil tindakan penjualan ‘energy stick’

Poster hebahan Public Health Malaysia mengenai 'energy stick' yang dimuat naik di platform X pada Ahad.
Poster hebahan Public Health Malaysia mengenai 'energy stick' yang dimuat naik di platform X pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal mengambil tindakan segera berhubung penjualan produk penyedut hidung atau 'energy stick' di media sosial yang kononnya mampu memberi tenaga dan kesegaran kepada penggunanya.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau mengakui sudah menerima aduan dan amaran berkaitan produk tersebut sebelum ini.

“Saya sudah awal terima 'alert' ini dan terus beritahu kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan serta timbalannya.

“KKM akan ambil tindakan segera berhubung perkara tersebut,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Bandar Tun Razak, Cheras pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, penggunaan ‘energy stick’ atau penyedut hidung (nasal inhaler) telah meningkat dalam kalangan pelajar sekolah.

Public Health Malaysia menerusi hantaran di platform X kemudiannya mengeluarkan maklumat kepada masyarakat agar berwaspada dengan penggunaan bahan terbabit.

Dr Dzulkefly ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Bandar Tun Razak, Cheras pada Ahad. Foto Facebook Dr Dzulkefly Ahmad.
Dr Dzulkefly ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Bandar Tun Razak, Cheras pada Ahad. Foto Facebook Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, produk jolok hidung dan sedut itu adalah terkini di pasaran dan dijual secara berleluasa dengan harga serendah RM2.50 sehingga RM10 sahaja.

Artikel Berkaitan:

Produk tersebut dipromosikan untuk memberi tenaga dan kesegaran kepada pengguna manakala sesetengah penjual menggunakan 'tagline', 'sedut dahulu, baru pergi sekolah' atau 'sedut dulu baru mulakan kerja'.

Ia bersaiz kecil sebesar pemetik api, berwarna warni dan didatangkan dengan pelbagai perisa menarik serta mempunyai dua corong yang muat ke dalam lubang hidung yang boleh disedut masuk ke paru-paru.

Public Health Malaysia berkata, jika diperhatikan, pengambilannya sama seperti dadah iaitu kaedah melalui hidung atau 'snorting' dan secara psikologinya sangat negatif kerana menggalakkan pengguna untuk mencuba bahan lain.

Justeru, pihaknya meminta supaya penjualan dan pembelian produk itu dihentikan dengan kadar segera.