Pengampunan Najib: Sudah ada keputusan, tunggu pengumuman - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal diumumkan sedikit masa lagi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan keputusan berkenaan akan diputuskan Lembaga Pengampunan.

"Sudah ada kepastian (pengampunan Najib), tunggu pengumuman Lembaga Pengampunan," katanya ketika ditemui media di Medan Selera, Pertama Kompleks di sini pada Jumaat.

Ketika ditanya apakah pengumuman itu telah mendapat kepastian, Anwar menjawab 'ya'.

"Tunggu keputusan Lembaga Pengampunan," katanya sebelum beredar untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek, Sultan Abdul Samad hari ini.

Anwar beramah bersalaman dengan orang ramai sebelum menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad pada Jumaat.
Anwar beramah bersalaman dengan orang ramai sebelum menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad pada Jumaat.

Media Singapura, Channel News Asia (CNA), sebelum ini melaporkan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas Perdana Menteri itu atas pertuduhan rasuah, dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan selepas mesyuaratnya pada Isnin lalu.

Dengan memetik sumber termasuk pegawai kanan kerajaan, CNA mendakwa, keputusan Lembaga Pengampunan yang diketuai Yang di-Pertuan Agong ketika itu juga termasuk pengurangan denda RM210 juta (AS$44.4 juta) kepada jumlah yang tidak ditentukan.

Artikel Berkaitan:

Menurut tiga sumber berasingan yang bercakap dengan syarat kerahsiaan ketat itu, pengampunan separa diraja atas pembabitannya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dibuat selepas menjalani hukuman penjara kurang dua tahun.

Pengurangan tempoh hukuman itu bermakna Najib dijangka menyelesaikan hukumannya pada Ogos 2028.

Bagaimanapun dengan parol untuk berkelakuan baik, beliau boleh dibebaskan pada Ogos 2026 selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman penjara baharu.