Ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang, anak trauma rumah terbakar

Sarina (dua dari kiri) bersama ahli keluarganya kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami mereka musnah dalam kejadian kebakaran Isnin lalu.
Sarina (dua dari kiri) bersama ahli keluarganya kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami mereka musnah dalam kejadian kebakaran Isnin lalu.
A
A
A

JERANTUT- "Anak bongsu saya masih trauma hingga kini selepas kebakaran tersebut," kata seorang tukang masak sekolah, Sarina Abdul Ghani, 46, selepas rumahnya di Kampung Lentun dekat Ulu Tembeling di sini hangus dalam kejadian pada Isnin lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, Mohd Fazrin Adam,14, sedang tidur sebelum tersedar kerana terasa lemas akibat terhidu bau asap.

Menurutnya, pada hari kejadian, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak pulang ke asrama kerana kurang sihat akibat demam manakala dia berada di tempat kerja di dewan makan Sekolah Kebangsaan(SK) Kampung Pagi.

"Anak tersedar dan lihat api sudah marak di ruang tamu dan berjaya keluar menyelamatkan diri dengan memanjat zink bilik dan mukanya juga hangus akibat kejadian tersebut.

"Dia (Fazrin) tak dapat selamatkan apa-apa pun peralatan, pakaian sekolah semua musnah," katanya.

Jelas Sarina yang juga ibu tunggal, Fazrin kini lebih banyak berdiam diri dan mungkin masih terkejut akibat kejadian terbabit.

"Saya hanya dapat tahu mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.33 pagi selepas dimaklumkan sepupu, mereka takut nak beritahu awal kerana saya ada penyakit jantung.

"Itu pun bila sampai di rumah, saya pengsan sekejap kerana sedih melihat keadaan rumah yang musnah terbakar," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ibu saudara serta anak saudaranya, Siti Nasilah Ehsan, 21, turut tinggal bersamanya, namun pada hari kejadian mereka tidur di rumah sebelah manakala tiga lagi anaknya bekerja dan tinggal di tempat lain.

Keadaan rumah Sarina yang musnah akibat kebakaran pada Isnin. - Foto: Bomba. Tiada apa yang mampu diselamatkan dalam kejadian tersebut.
Pix Ihsan JBPM
Keadaan rumah Sarina yang musnah akibat kebakaran pada Isnin. - Foto: Bomba. Tiada apa yang mampu diselamatkan dalam kejadian tersebut. Pix Ihsan JBPM

Bagaimanapun, Sarina tetap bersyukur kerana anaknya selamat serta reda walaupun sedih dengan kejadian yang menyebabkan dia sekeluarga kini hilang tempat tinggal.

Jelasnya, buat sementara waktu keluarganya kini menumpang di rumah ibunya yang terletak berhampiran dan mengharapkan keluarganya dapat memiliki kediaman semula.

Dalam pada itu, Sarina turut berharap nasibnya sekeluarga mendapat perhatian sewajarnya.

"Akibat kejadian ini, saya kehilangan rumah yang dibina dengan harga RM50,000 beberapa tahun lalu dalam tempoh sekelip mata.

"Dengan pendapatan sebagai tukang masak, memang saya tak mampu nak bina semula, tambahan pula bulan puasa tak lama lagi," ujarnya.

Mereka yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun CIMB (7634317465) atas nama Sarina Abdul Ghani.