[VIDEO] Kembalikan semula wang BAP dipotong

A
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Sekolah yang membuat pemotongan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diarahkan untuk mengembalikan wang tersebut kepada murid yang terlibat.

Tegas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, wang BAP sepatutnya diberikan mengikut amaun yang telah diputuskan kerajaan iaitu RM150 kepada setiap murid.

"BAP mestilah jumlah yang diberikan sepenuhnya dan (jika ada pemotongan) perlu dikembalikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Tahun Baru Cina dan penyerahan cek cura BAP 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua Kajang di sini pada Jumaat.

Menurutnya, sekiranya masih terdapat sekolah yang membuat pemotongan terhadap wang BAP, ibu bapa dinasihati agar mengemukakan aduan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Ibu bapa perlu membuat aduan kepada kita dan kementerian akan menyiasat perkara tersebut," katanya.

Sebelum ini seorang pengguna aplikasi X berkongsi bahawa menerima BAP RM50 daripada pihak sekolah ketika proses pengagihan bantuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Wang sepatutnya RM150 diberikan kepada murid dipotong untuk yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan koperasi.

Fadhlina beramah mesra dengan pelajar selepas selesai penyerahan cek BAP 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua Kajang pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
Fadhlina beramah mesra dengan pelajar selepas selesai penyerahan cek BAP 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua Kajang pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB

Terdahulu Fadhlina menyerahkan lebih RM1.2 juta peruntukan BAP untuk 933 sekolah di Selangor membabitkan 848,744 murid.

Sebanyak RM788.13 juta diperuntukan dalam Belanjawan 2024 khusus untuk BAP.

Bantuan secara sekali bayar itu akan memberi manfaat kepada 5,254,200 murid di seluruh negara.

Dalam pada itu beliau berkata, kekosongan jawatan Ketua Pengarah Pendidikan akan diisi dalam masa terdekat.

Jawatan itu kosong sejak 7 November lalu selepas penyandangnya, Datuk Pkharuddin Ghazali bersara wajib.