[VIDEO] KPM tak terima laporan Bantuan Awal Persekolahan dipotong

A
A
A

IPOH - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak menerima sebarang laporan atau aduan melibatkan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dipotong oleh pihak sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, tahun lalu pihak kementerian menerima aduan terdapat pemotongan bayaran BAP untuk yuran tertentu namun ia merupakan kes terpencil.

Bagaimanapun pihaknya telah mengarahkan pihak sekolah supaya BAP dibayar penuh kepada semua pelajar.

"Bagi KPM, kita telah berikan mesej yang jelas kepada semua sekolah supaya jumlah RM150 hendaklah sampai ke tangan ibu bapa atau pelajar terbabit kerana ini merupakan bantuan awal persekolahan untuk membantu meringankan beban permulaan persekolahan.

"Untuk sepanjang tahun ini memang kita tidak menerima apa-apa aduan lagi dan pengagihan berjalan lancar. Kita harap fenomena baik ini dapat diteruskan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Negeri Perak kepada semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sekolah Menengah Kebangsaan Yuk Choy di sini pada Khamis.

Kah Woh (kiri) menyerahkan replika cek kepada Mohamad Fauzi ketika majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Negeri Perak kepada semua PPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Yuk Choy di sini pada Khamis.
Kah Woh (kiri) menyerahkan replika cek kepada Mohamad Fauzi ketika majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Negeri Perak kepada semua PPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Yuk Choy di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis tersebut, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson.

Sementara itu, Kah woh berkata, pada tahun ini sebanyak RM788.17 juta diperuntukkan bagi BAP berkenaan untuk diagih kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penyerahan BAP telah dimulakan sejak 10 Januari lalu dan dijangka kesemua penyaluran wang tersebut akan selesai diagihkan menjelang 10 Februari ini.

"Kesemua pemberian dan penyaluran bantuan ini telah dijalankan dengan amat lancar dan kami berterima kasih dan menghargai sumbangan pihak sekolah JPN dan PPD dalam usaha memastikan bahawa tidak ada sebarang pelajar yang tercicir atau tertinggal.

"Penyaluran ini bergantung kepada negeri dan daerah. Dalam 10 hari lagi kesemua bantuan ini akan dapat disalurkan dengan penuh kepada anak-anak kita untuk persediaan sesi persekolahan ini," katanya.

Pada majlis itu, Kah Woh turut menyampaikan replika cek BAP untuk negeri Perak sebanyak RM48.74 juta.

Menurutnya, jumlah bayaran terbabit sedang diagihkan kepada 325,162 orang pelajar melibatkan 1,104 sekolah di Perak.