Sekolah warna-warni bangkit suasana ceria, minat tuntut ilmu

Antara bangunan sekolah yang dicat dengan warna yang ceria.
Antara bangunan sekolah yang dicat dengan warna yang ceria.
A
A
A

CHANGLUN - Sekolah Kebangsaan Dato' Wan Kemara menampilkan imej lebih ceria dengan menonjolkan bangunan berwarna-warni yang dicat baharu sempena persekolahan 2020.

Guru besarnya, Mohd Nizam Saidin berkata, ia hasil idea guru-guru dan pengurusan sekolah yang berhasrat membangkitkan semangat dan minat untuk belajar selain menyediakan suasana pembelajaran lebih kondusif dan menarik.

"Persekitaran di dalam kelas juga dibuat penambahbaikan apabila meja murid-murid dicat mengikut kumpulan.

"Ada juga yang melekatkan kertas dinding mengikut kreativiti masing-masing dan pelbagai lagi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, aktiviti mengecat dilakukan ketika musim cuti persekolahan yang lalu dan turut berbangga apabila mendapat kerjasama daripada guru-guru dan juga orang ramai terutama ahli keluarga murid.

Murid-murid SK Dato' Wan Kemara bermain catur yang terdapat di kawasan sekolah mereka pada waktu rehat hari ini.
Murid-murid SK Dato' Wan Kemara bermain catur yang terdapat di kawasan sekolah mereka pada waktu rehat hari ini.

"Alhamdulillah, berkat komitmen semua pihak, kerja selesai dalam tempoh tiga minggu sahaja dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7,000.

"Kami melibatkan murid dalam setiap aktiviti keceriaan untuk mendidik mereka tentang aspek kebersihan dan nilai sayangkan sekolah, malah selepas waktu rehat kawasan sekolah juga bersih daripada sampah-sarap kerana kita sudah menerapkan budaya kebersihan kepada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suasana sekolah yang ceria dan menarik membantu proses kemenjadian murid yang akhirnya melahirkan generasi berdaya saing.

Beliau turut berharap, sekolah berkenaan dijadikan sebagai sekolah contoh dan pusat pembelajaran menyeronokkan untuk murid-murid serta tarikan kepada orang luar datang melawat.