Pemimpin Singapura utus ucapan tahniah kepada Agong baharu

Sultan Ibrahim (tengah) pada Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini. Foto Bernama
Sultan Ibrahim (tengah) pada Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Pemimpin Singapura mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Rabu.

Presiden, Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong masing-masing mengutus surat tahniah kepada Sultan Ibrahim pada Rabu.

Teks surat itu disediakan kepada media oleh Kementerian Luar Negeri republik itu.

"Dedikasi Tuanku terhadap kebajikan dan kemakmuran rakyat sudah diketahui umum.

"Saya yakin di bawah nasihat dan bimbingan Tuanku, Malaysia akan dibawa ke tahap yang lebih tinggi lagi,” kata Tharman.

Menurut Tharman, Singapura dan Malaysia berkongsi persahabatan rapat yang dijalin atas hubungan kukuh rakyat dengan rakyat, selain kerjasama erat antara kerajaan dan hubungan perniagaan yang telah lama terjalin.

"Saya berharap dapat bekerjasama dengan Tuanku bagi memastikan ikatan ini terus berkembang, demi manfaat bersama kedua-dua rakyat kita," kata Tharman.

Presiden itu juga menyampaikan jemputan kepada Sultan Ibrahim untuk membuat Lawatan Negara ke Singapura seawal mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Saya dan isteri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah untuk kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan.

"Kami berharap dapat berjumpa dengan Tuanku tidak lama lagi,” kata Tharman.

Sementara itu, dalam surat ucapan tahniahnya, Hsien Loong berkata, visi Sultan Ibrahim untuk sebuah Malaysia yang padu dan berpandangan ke hadapan, adalah petanda baik untuk pembangunan seterusnya.

"Saya yakin Tuanku akan melaksanakan fungsi jawatan tertinggi di Malaysia dengan cemerlang dan komited,” kata Perdana Menteri.

Hsien Loong berkata, hubungan pelbagai segi dan berkekalan antara Singapura dan Malaysia adalah berdasarkan hubungan sejarah.

"Kedua-dua negara kita bekerja rapat dalam pelbagai domain, secara dua hala dan dalam rangkakerja ASEAN.

"Dalam dunia yang tidak menentu, perkongsian kita akan menjadi lebih penting untuk kemakmuran dan keselamatan berterusan rakyat kita.

"Singapura berharap dapat mengukuhkan persahabatan dan kerjasama semasa pemerintahan Tuanku,” kata Hsien Loong.

Hsien Loong berkata, beliau dan isterinya, Ho Ching mendoakan agar Sultan Ibrahim dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah sihat dan bahagia, serta tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan Tuanku ke Singapura tidak lama lagi.

Sultan Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Raja Malaysia yang baharu dalam satu istiadat yang penuh tradisi di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Rabu.

Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah, yang pemerintahan lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berakhir pada Selasa. - Bernama