Fadillah merafak sembah tahniah kepada Sultan Ibrahim sebagai Agong ke-17

Sultan Ibrahim (duduk tengah) berkenan berangkat pada Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini. Foto Bernama
Sultan Ibrahim (duduk tengah) berkenan berangkat pada Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merafak sembah tahniah kepada Sultan Ibrahim yang melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, berkata, beliau serta seluruh rakyat mendoakan agar Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan selain memacu Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan maju.

"Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku, Menjunjung Kasih Tuanku,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau.

Terdahulu, Sultan Ibrahim melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Jan 2019. - Bernama

Artikel Berkaitan: