Tangguh dulu pengambilan pegawai baharu kontrak - Radzi Jidin

Radzi (gambar kecil) mencadangkan kerajaan menangguhkan pelaksanaan pengambilan pegawai baharu kerajaan secara kontrak yang akan bermula esok. Gambar hiasan Bernama
Radzi (gambar kecil) mencadangkan kerajaan menangguhkan pelaksanaan pengambilan pegawai baharu kerajaan secara kontrak yang akan bermula esok. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan terburu-buru kerajaan untuk melaksanakan pengambilan pegawai baharu secara kontrak tanpa perancangan yang teliti dan menyeluruh adalah langkah tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, proses tersebut jelas memperlihatkan proses penggubalan dasar sangat bercelaru tanpa sebarang kerangka pelaksanaan yang komprehensif.

Menurutnya, kerajaan dicadangkan agar menangguhkan pelaksanaan tersebut sehingga dimuktamadkan dengan mengambil kira pandangan pemegang taruh.

“Sedarkah kerajaan esok adalah 1 Februari 2024 iaitu tarikh bermulanya lantikan pegawai baharu dibuat secara kontrak?

“Terdapat banyak persoalan berkaitan dengan perkara ini yang telah disentuh oleh pelbagai pihak. Namun tidak diendahkan.

“Kerajaan perlu merangka rancangan dan pendekatan pelaksanaan yang jelas. Ini juga dapat memberi lebih keadilan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada 23 Januari lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi satu pekeliling memaklumkan kerajaan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak.

Menurutnya, kaedah lantikan baharu akan diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, inisiatif kaedah baharu itu dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan, juga dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Dalam pada itu, menurut Mohd Radzi, perancangan atau penggubalan dasar perlu dilakukan bagi memberi pilihan kepada orang ramai sama ada mereka berminat untuk bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta.

“Ini juga dapat memberi lebih keadilan kepada rakyat Malaysia semasa membuat pilihan sama ada untuk berkhidmat sebagai penjawat awam atau sebaliknya dengan mengambil kira faedah semasa dan selepas perkhidmatan,” ujarnya.