Remaja curi 14 tandan kelapa sawit, sumbat dalam Kancil

Kereta Perodua Kancil yang digunakan suspek untuk mencuri buah kelapa sawit. Foto IPD Hulu Terengganu
Kereta Perodua Kancil yang digunakan suspek untuk mencuri buah kelapa sawit. Foto IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Tindakan seorang remaja lelaki mencuri buah kelapa sawit menggunakan kereta jenis Perodua Kancil tidak kesampaian apabila ditahan orang awam di Felcra Banggol Kampung Kuala Pueh, dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, susulan itu pihaknya telah membuat tangkapan terhadap lelaki berusia 19 tahun itu kira-kira jam 8 pagi pada hari yang sama di lokasi terbabit.

Suspek (tengah) ditahan kerana disyaki mencuri buah kelapa sawit. Foto IPD Hulu Terengganu
Suspek (tengah) ditahan kerana disyaki mencuri buah kelapa sawit. Foto IPD Hulu Terengganu

"Kita telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan yang ditahan oleh orang awam kerana disyaki mencuri buah kelapa sawit.

"Polis turut merampas 14 tandan buah kelapa sawit serta sebuah kenderaan yang digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zainul Mujahidin berkata, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bermula Selasa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang mana boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," jelasnya.

Artikel Berkaitan: