Orang awam bantu tangkap pencuri motosikal

Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki ditahan
dengan bantuan orang awam di sebuah restoran di Klang, baru-baru ini.
Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki ditahan dengan bantuan orang awam di sebuah restoran di Klang, baru-baru ini.
A
A
A

KLANG - Dua pencuri motosikal berjaya diberkas di sekitar daerah ini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, penangkapan suspek kira-kira jam 2.50 petang yang sedang menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC dibuat semasa anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menjalankan tugas rondaan.

Menurutnya, sewaktu ditahan, pembonceng motosikal itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai di sebuah restoran berhampiran pekan Bandar Baru Klang.

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai sebatang 'allen key' yang telah diubah suai dipercayai untuk mencuri motosikal.

"Kedua-dua suspek yang ditahan berusia 30-an dengan semakan mendapati mempunyai dua rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, penahanan suspek berikutan satu laporan polis yang dibuat seorang lelaki yang kehilangan motosikal jenis Yamaha 125ZR di kawasan parkir sebuah kompleks beli-belah di Jalan Batu Tiga Lama, Klang.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan motosikal yang hilang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, tular satu rakaman video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 36 saat mengenai penahanan seorang lelaki di sebuah restoran dengan bantuan orang awam.