Kontrak sosial kian dilupakan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

TULISAN jawi sudah mula berkembang di Tanah Melayu sejak kedatangan Islam pada abad ke-10 menerusi aktiviti pedagang dari Arab di kepulauan Melayu.

Perkembangan tulisan jawi di nusantara adalah seiring dengan penyebaran agama Islam oleh pedagang Arab yang menjadi pegangan orang Melayu sehingga kini.

Antara kesan penyebaran dakwah Islam ialah penggunaan huruf-huruf Arab sebagai medium untuk berkomunikasi di Tanah Melayu.

Tulisan yang diperkenalkan kepada penduduk di sekitar nusantara adalah huruf-huruf Arab atau sekarang ini dikenali dengan nama tulisan Jawi.

Pada abad ke-11 hingga ke-14, tulisan jawi digunakan secara meluas di seluruh Tanah Melayu dan nusantara. Orang Melayu yang celik huruf pada waktu itu ialah golongan yang celik jawi.

Ini bermakna bahawa sejarah tulisan jawi itu sudah menjadi sebahagian daripada sejarah penting negara yang tidak boleh dilupakan begitu saja.

Bagaimanapun, usaha untuk memperkenalkan tulisan jawi di sekolah vernakular mendapat tentangan hebat daripada Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) Nasional.

Artikel Berkaitan:

Cheng Suan (dua dari kiri) dan Tai Kim (dua dari kanan) bersama beberapa wakil pertubuhan Cina termasuk Dong Zong mempamerkan memorandum bantahan pengenalan tulisan Jawi di sekolah rendah untuk diserahkan kepada wakil KPM di lobi bangunan kementerian itu.
Cheng Suan (dua dari kiri) dan Tai Kim (dua dari kanan) bersama beberapa wakil pertubuhan Cina termasuk Dong Zong mempamerkan memorandum bantahan pengenalan tulisan Jawi di sekolah rendah untuk diserahkan kepada wakil KPM di lobi bangunan kementerian itu.

Bagi masyarakat Melayu, usaha yang dirintis Kementerian Pendidikan adalah sesuatu yang baik kepada semua rakyat di negara ini dengan tujuan supaya kita semua saling kenal-mengenali dan faham memahami antara satu sama lain.

Malangnya, pengenalan tulisan jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 itu ditolak dengan menggunakan sentimen perkauman termasuk kebimbangan berlakunya proses Islamisasi terhadap pelajar bukan Islam di sekolah vernakular.

Persoalannya, adakah alasan dikemukakan Dong Zong dan Sekat ini mempunyai asas kukuh sedangkan sudah berpuluh tahun kewujudan sekolah vernakular di negara ini tetapi masih ramai tidak boleh berbahasa kebangsaan dengan baik?

Walaupun mata pelajaran Bahasa Melayu yang dijadikan sebagai subjek teras dan penting dalam pendidikan negara pun tidak dapat menjadikan seorang pelajar bertutur dengan baik kecuali pelajar tersebut mengikuti pendidikan di sekolah kebangsaan.

Perbezaan ketara antara sekolah vernakular dengan sekolah kebangsaan menyebabkan hubungan antara kaum di negara ini seolah-olah renggang sehingga ada pihak mencadangkan supaya diwujudkan sekolah satu aliran untuk mengatasi masalah tersebut.

Himpunan Bangkit Pertahan Jawi Haramkan Dong Zong di Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Himpunan Bangkit Pertahan Jawi Haramkan Dong Zong di Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Jika kita imbas kembali sejarah lalu, orang-orang Melayu di negara ini bertoleransi apabila penjajah British memperkenalkan konsep Jus Soli dengan memberi kerakyatan kepada warga asing.

Selepas itu, wujud persefahaman antara pemimpin-pemimpin politik negara pada ketika itu yang mewakili semua kaum di negara ini bagi membolehkan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Atas persefahaman itulah wujudkan kontrak sosial yang mengikat seluruh masyarakat di negara ini menjadi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan harmoni.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kontrak sosial itu dilihat sudah semakin rapuh dan dilupakan sehingga ramai pihak lupa bahawa kita semua hidup di bawah satu langit yang sama.

Jika program seni kaligrafi yang diadakan di ibu negara baru-baru ini dapat memupuk persefahaman antara kaum, apa salahnya tulisan jawi juga tidak menjadi mangsa diskriminasi pihak lain.