Tak perlu defensif, terus sahaja selesai masalah

TINDAKAN segera Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menangani isu kelewatan baja subsidi wajar disambut baik.
Walaupun isu yang disiarkan Sinar Harian minggu lalu mungkin kelihatan kecil di atas kertas, sekadar kelewatan kontrak dan pembekalan input, namun kesannya amat besar kepada keselamatan makanan negara.
Dalam sektor padi, masa itu penting. Baja yang tiba lewat walaupun hanya beberapa minggu boleh menjejaskan tumbesaran tanaman dan akhirnya mengurangkan hasil.
Akhbar ini melihat pendekatan KPKM yang mengakui kelemahan dalam rantaian pengedaran serta bersedia menilai semula sistem perolehan sebagai satu langkah matang dan bertanggungjawab.
Tindakan memperbaharui kontrak untuk tempoh lebih panjang bagi memastikan kesinambungan bekalan menunjukkan kementerian tidak bersikap defensif, sebaliknya fokus kepada penyelesaian.
Walaupun KPKM menegaskan bahawa dakwaan kejatuhan hasil sehingga 50 peratus tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada faktor baja, kementerian tetap mengakui bahawa ketidakselarasan masa pembekalan boleh memberi kesan kepada prestasi tanaman.
Pengakuan ini menunjukkan kejujuran iaitu tidak menafikan realiti di lapangan, tetapi dalam masa sama melihat isu secara holistik melibatkan cuaca, pengairan, kesuburan tanah dan pengurusan ladang.
Langkah memperketat klausa kontrak, mengenakan denda kepada pembekal lewat serta beralih kepada tender terbuka juga wajar dipuji. Ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah memberi isyarat jelas bahawa isu berkaitan makanan negara tidak boleh dipandang ringan atau diurus secara sambil lewa.
Justeru, pendekatan KPKM ini sepatutnya menjadi contoh kepada mana-mana kementerian lain. Masalah rakyat tidak selesai dengan menuding jari antara agensi atau menyorok isu kononnya semuanya baik-baik sahaja.
Apa yang diperlukan ialah keberanian mengaku kelemahan dan kesungguhan membaiki sistem.
Jika semua kementerian mengambil sikap seperti KPKM, banyak masalah rakyat sebenarnya boleh diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
