Sultan Ibrahim diisytihar Yang di-Pertuan Agong ke-17

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima Hormat Diraja daripada pasukan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Dataran Istana Negara, pada Rabu. Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima Hormat Diraja daripada pasukan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Dataran Istana Negara, pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia hari ini menerima Ketua Utama Negara baharu selepas perisytiharan Sultan Johor Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara.

Dengan sempurnanya Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Y​​​ang di-Pertuan Agong ke-17 di Balairung Seri hari ini, ia menandakan bermula tempoh pemerintahan lima tahun Sultan Ibrahim sebagai tonggak kedaulatan dan perpaduan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagan Persekutuan.

Sultan Ibrahim, 65, ketika melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong berikrar akan melaksanakan pemerintahan dengan adil dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Istiadat hari ini turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, 67, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melengkapkan lagi sistem raja berperlembagaan yang diamalkan negara.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Okt tahun lepas, susulan tamat tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.

Sehingga kini, Malaysia telah melalui 17 Ketua Utama Negara secara penggiliran lima tahun sekali dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Kini setelah hampir 35 tahun, bendera rasmi Yang di-Pertuan Agong kembali dikibarkan di Johor selepas kali terakhir adalah ketika Paduka Ayahanda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-Raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah, manakala Johor diwakili Pemangku Sultan Johor, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Artikel Berkaitan:

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim (tengah) berkenan bergambar selepas Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, pada Rabu. Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim (tengah) berkenan bergambar selepas Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, pada Rabu. Foto Bernama

Surat Sumpah Jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai saksi.

Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya membacakan kandungan surat perisytiharan itu dan bermulanya secara rasmi Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagan Persekutuan.

Memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT, Pegawai Agama Istana Datuk Munir Md Salleh memohon kesejahteraan ke atas Yang di-Pertuan Agong serta seluruh rakyat dan negara ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Jan 2019.

Pada istiadat itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad turut menyembah maklum bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja mempunyai sejarah yang cukup signifikan dengan Kesultanan Johor.

"Ampun Tuanku, patik mohon menjelaskan bahawa Mesyuarat ke-264 ini adalah dikira atau dihitung dari bulan Februari 1948 ketika mana Majlis Raja-Raja baru diwujudkan setelah pemerintahan Malayan Union ditamatkan hari ini 31 Januari dan digantikan oleh Perjanjian Persekutuan Malaya.

"Kebetulannya Majlis Raja-Raja yang pertama itu telah dipengerusikan oleh raja yang paling kanan ketika itu Mejar Jeneral Sir Ibrahim Sultan Johor, moyanganda kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Istiadat menghadap mengakhiri peristiwa bersejarah hari ini dengan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap dif-dif kenamaan antaranya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Ahli-ahli Jemaah Menteri, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Terdahulu, rakyat pelbagai peringkat telah menunggu awal pagi di sepanjang laluan antara Istana Bukit Serene menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor selain di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor bagi meraikan keberangkatan Sultan Ibrahim yang akan bersemayam sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun.

Daulat Tuanku. - Bernama