Roti canai, beriani kambing santapan wajib Agong di Muar


Hassan menunjukkan gambar kenangan kehadiran Sultan Ibrahim ke restorannya di Muar.
Hassan menunjukkan gambar kenangan kehadiran Sultan Ibrahim ke restorannya di Muar.
A
A
A

MUAR - Roti canai dan beriani kambing menjadi santapan wajib Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di restoran HD di Bandar Diraja Muar.

Pemilik restoran, Hassan Daud, 65, berkata, hidangan ringkas pilihan Sultan Ibrahim itu menjadikan menu berkenaan popular dalam kalangan pengunjung sejak tahun 2000.

Katanya, restoran HD yang diusahakan sejak 20 tahun lalu, kini diuruskan bersama isteri, Zaidah Mohamad, 40, dan menantunya, Shafienaa Mohd Rubaai, 27.

“Selain Sultan Ibrahim, anakanda baginda Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim juga kerap minum di sini, dengan minuman kegemarannya adalah teh serta roti kosong.

“Ada dua kali jugalah baginda (Almarhum Tunku Abdul Jalil) datang sini bersama Sultan Johor dan yang lain-lainnya Almarhum datang sendiri,” katanya.

Bercerita mengenai kehadiran Sultan Ibrahim di restorannya, Hassan berkata, Seri Paduka Baginda biasanya datang seawal selepas solat Subuh dengan hanya berbasikal dari Istana Hinggap Muar yang jaraknya hampir dua kilometer untuk menikmati makanan kegemaran.


Hassan berbangga menu yang disediakan iaitu roti canai dan beriani kambing menjadi pilihan pelanggan termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Hassan berbangga menu yang disediakan iaitu roti canai dan beriani kambing menjadi pilihan pelanggan termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Ada ketikanya Tuanku datang terus ke kedai tanpa memberitahu terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Mujur baginda datang awal, kalau tidak kemungkinan menu kegemaran Tuanku telah habis.

“Kebiasaannya baginda akan datang kira-kira jam 6.30 pagi dan meminta saya mengoperasikan kedai makan seperti biasa dengan menerima pelanggan serta tidak perlu menutup hanya untuk baginda,” katanya.

Menurut Hassan, hidangan yang disediakan di restorannya mungkin biasa tetapi kena dengan selera Tuanku.

“Saya belajar memasak lauk beriani termasuk lauk kambing yang menjadi kegemaran baginda daripada kenalan saya yang berasal dari Madras, India.

Rempah perlu digiling dan bukannya dikisar.


Roti canai dan beriani kambing air tangan Hassan menjadi pilihan Sultan Ibrahim di Muar.
Roti canai dan beriani kambing air tangan Hassan menjadi pilihan Sultan Ibrahim di Muar.

“Saya belajar hanya sekali cara untuk memasaknya dan mencubanya sendiri beberapa kali sebelum ia menjadi sehingga kini,” katanya.

Hassan menambah sekiranya Sultan Ibrahim tidak berkesempatan singgah ke kedai makannya, baginda akan menghubunginya untuk membungkus roti canai, nasi beriani dan juga lauk kambing yang akan dihantar ke Istana Hinggap Muar, sekiranya baginda datang ke Bandar Maharani itu.

“Saya gembira masakan saya ini digemari oleh Yang di-Pertuan Agong, dan saya berharap agar Sultan Ibrahim sentiasa sihat serta dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan terus dekat dengan hati rakyat,” katanya.