Mufti Pulau Pinang gesa kerajaan batal konsert Ed Sheeran

Wan Salim Wan menggesa kerajaan agar membatalkan segera kebenaran konsert penyanyi berasal dari United Kingdom, Ed Sheeran '− = ÷ ×' atau ED The Mathematics Tour dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil 24 Februari ini.
Wan Salim Wan menggesa kerajaan agar membatalkan segera kebenaran konsert penyanyi berasal dari United Kingdom, Ed Sheeran '− = ÷ ×' atau ED The Mathematics Tour dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil 24 Februari ini.
A
A
A

GEORGE TOWN - Penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang dikatakan penyokong tegar komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dibenarkan untuk mengadakan konsert di negara ini amat dikesali.

Sehubungan itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital agar membatalkan segera kebenaran untuk mengadakan konsert tersebut.

Beliau turut meminta kementerian berkenaan agar menghormati pandangan para mufti yang menyatakan hukum syarak berhubung penganjuran konsert tersebut.

"Sebagai seorang mufti, saya rasa bertanggungjawab untuk menggesa pihak kerajaan Malaysia melalui kementerian terbabit supaya membatalkan segera kebenaran untuk mengadakan konsert tersebut.

"Saya mohon kementerian berkenaan, hormatilah pandangan para mufti yang menyatakan hukum syarak, lebih-lebih lagi larangan terhadap aktiviti LGBT bukan merupakan ijtihad ulama tetapi ia berdasarkan nusus syar’iyyah yang disebut dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambah beliau, sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, Malaysia sepatutnya tidak membuka ruang kepada penganjuran konsert artis yang mendukung amalan maksiat.

Menurutnya, perkara itu bukan sahaja dilarang oleh agama Islam malah semua agama.

"Sungguh dikesali negara kita membenarkan penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang dikatakan penyokong tegar LGBT.

Artikel Berkaitan:

"Adalah menjadi satu tanggungjawab kerajaan mencegah kemungkaran sepertimana dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran, surah al-Haj: 41," katanya.

Kata beliau lagi, setiap Muslim sudah mengetahui bahawa agama Islam menolak segala hubungan sejenis yang tidak ditegakkan di atas pernikahan yang sah.

"Semua agama langit menentang aktiviti LGBT kerana ia membawa negara dan umat ke jurang kemusnahan.

"Justeru, saya meminta seluruh umat Islam di negara ini supaya memulaukan konsert yang dicadangkan itu. Ingat lah umat Islam ditegah bekerjasama dalam perkara (yang membawa kepada) dosa atau maksiat seperti dinyatakan di dalam al-Quran," tambah beliau lagi.

Sebelum ini media melaporkan, penyanyi berasal dari United Kingdom, Ed Sheeran bakal membawa konsert jelajahnya ' − = ÷ ×' atau ED The Mathematics Tour ke beberapa buah negara Asia, termasuk Malaysia.

Konsert tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Februari ini.

Menerusi hantaran poster konsert berkenaan, seorang lagi penyanyi, Calum Scott juga akan dibawa sebagai penyanyi jemputan.

Ini merupakan kali kedua bagi artis tersebut untuk mengadakan konsert jelajahnya di Asia. Kali pertama Ed Sheeran mengadakan konsert di Asia pada 2019.