Susuri Sungai Merbok imbas kembali zaman Kerajaan Kedah Tua

A
A
A

MERBOK - Bagi seseorang yang cintakan kehijauan dan sukakan pemandangan indah menikmati panorama laut dan matahari terbenam, sudah pasti teruja merasai pengalaman menyusuri Sungai Merbok.

Terkenal sebagai laluan pedagang melalui pelabuhan entrepot semasa pemerintahan Kerajaan Kedah Tua suatu ketika dahulu, sudah pasti meninggalkan kesan mendalam kepada pencinta sejarah mengenai pengkisahan pelaburan besi Tamadun Awal Asia Tenggara di Sungai Batu.


Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah menyediakan dua buah bot katamaran yang diberi nama Mahawangsa I dan Mahawangsa II.
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah menyediakan dua buah bot katamaran yang diberi nama Mahawangsa I dan Mahawangsa II.

Penerokaan menyusuri Sungai Merbok melalui pakej perkhidmatan bot disediakan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) melalui bot katamaran yang diberi nama Mahawangsa I dan Mahawangsa II, seolah-olah menggamit ingatan tentang mitos Hikayat Merong Mahawangsa yang pernah dikaitkan di kawasan itu.

Perjalanan menyusuri sungai yang mengambil masa sejam 30 minit itu turut melalui tiga buah pulau yang diberi nama Pulau Tiga yang juga berdekatan tapak istana lama.

Perjalanan akan menyusuri ke beberapa buah lokasi termasuk tapak istana lama.
Perjalanan akan menyusuri ke beberapa buah lokasi termasuk tapak istana lama.

Pesisir sungai ini juga dikatakan menjadi pusat pembuatan arang kayu berdasarkan tinggalan binaan gok yang banyak ditemui.

Bagi memperingatinya, satu replika gok telah dibina MPSPK berdekatan Jeti Semeling sebagai simbolik kepada aktiviti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Bahagian Pelancongan MPSPK, Mohd Farid Ismail berkata, Sungai Merbok yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti hutan bakau mempunyai 40 jenis spesies bakau paling banyak di dunia berbanding keseluruhan bakau dunia sebanyak 60 jenis.


Pulau Tiga merupakan kawasan berdekatan tapak istana lama.
Pulau Tiga merupakan kawasan berdekatan tapak istana lama.

Menurutnya, kawasan ini juga disenaraikan sebagai geopark kerana mempunyai tapak warisan geologi yang dibangunkan secara lestari sebagai geopelancongan.

"Tidak boleh dinafikan, tarikan utama di daerah Kuala Muda sudah pasti Sungai Batu yang mana penemuan artifak membuktikan kewujudan pusat pentadbiran, tapak ritual, tapak peleburan besi dan pelabuhan kuno serta tersembunyi 1,001 khazanah bernilai," katanya.

Sungai Merbok mempunyai 40 spesies bakau paling banyak di dunia berbanding keseluruhan bakau dunia sebanyak 60 jenis.
Sungai Merbok mempunyai 40 spesies bakau paling banyak di dunia berbanding keseluruhan bakau dunia sebanyak 60 jenis.

Jelasnya, kedudukan Gunung Jerai juga merupakan simbol kemegahan Kerajaan Kedah Tua yang dapat dilihat ketika menyusuri Sungai Merbok.

Menurut Mohd Farid, bagi menambah pengetahuan pengunjung, MPSPK telah membina tiga buah galeri iaitu Galeri Kedah Tua, Geopark dan Biodiversiti di Jeti Semeling.

"Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati keindahan panorama matahari terbenam sekiranya memilih pakej pada sebelah petang," ujarnya.


Perjalanan bermula dari Jeti Semeling dan akan menyusuri ke beberapa lokasi sebelum berakhir di lokasi sama.
Perjalanan bermula dari Jeti Semeling dan akan menyusuri ke beberapa lokasi sebelum berakhir di lokasi sama.

Katanya, setiap pelancong tempatan dikenakan tiket sebanyak RM20 bagi dewasa manakala pelancong antarabangsa pula dikenakan sebanyak RM35 dan boleh ditempah lebih awal untuk memudahkan pergerakan.

"Kita juga sedang merancang pelbagai aktiviti lain untuk menambah baik pakej ini termasuk aktiviti memberi makan burung helang seperti yang terkenal di Pulau Langkawi," ujarnya.