Ikat perut demi anak yang terlantar akibat nahas

Rosmanidar menyalurkan susu menerusi tiub terhadap Zulkiflee yang kini terlantar akibat kemalangan sejak empat tahun lalu.
Rosmanidar menyalurkan susu menerusi tiub terhadap Zulkiflee yang kini terlantar akibat kemalangan sejak empat tahun lalu.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Kenaikan pelbagai harga barangan seperti susu dan lampin pakai buang dewasa menyebabkan sebuah keluarga di sini terpaksa mengikat perut untuk memastikan anak yang terlantar akibat kemalangan mendapat penjagaan sebaiknya.

Itu situasi yang dihadapi seorang suri rumah, Rosmanidar Rusli, 52, di Kampung Batu 1 di sini untuk menjaga anaknya, Mohd Zulkiflee Anwar, 24, yang terbabit dalam kemalangan jalan raya sejak empat tahun lalu.

Kejadian pada 17 Februari 2020 di Paya Pasir, Maran itu menyebabkan Zulkiflee yang dulu seorang pemuda yang ceria, rajin kini terlantar selepas mengalami pelbagai komplikasi akibat kemalangan tersebut.

Rosmanidar
Rosmanidar

"Kenaikan harga susu memang sangat membebankan kami kerana seperti anak saya hanya boleh minum susu khas memerlukan kira-kira 15 tin setiap bulan yang menjangkau harga hampir RM100 setin.

"Saya dan suami, Anwar Mohamad, 62, rela ikat perut makan apa yang ada supaya bekalan susu khas serta pampers tidak terputus.

"Selain itu memang saya layari pelbagai platform dalam talian untuk dapatkan harga lebih rendah susu untuk jimatkan kos," kata ibu kepada lima cahaya mata tersebut.

Ujarnya, selain bergantung dengan bantuan bulanan RM500 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM300 (zakat),dia mengakui anak sulungnya juga banyak membantu perbelanjaan keluarga yang turut perlu membayar sewa rumah RM400 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Memang tak cukup,tapi anak banyak membantu selain dua anak perempuan sudah kahwin serta anak bongsu masih sekolah,SPM tahun ini.

Rosmanidar dan Anwar bersama Zulkiflee yang kini umpama bayi memerlukan penjagaan sepenuh masa.
Rosmanidar dan Anwar bersama Zulkiflee yang kini umpama bayi memerlukan penjagaan sepenuh masa.

"Suami pun tak dapat kerja, mudah semput selepas alami masalah kesihatan, hati membengkak sejak beberapa tahun lalu," katanya lagi.

Tambahnya, dulu dia dan suami pernah meniaga makanan namun sejak anaknya kemalangan ia tidak mampu diteruskan kerana keadaan Zulkiflee yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu memerlukan penjagaan sepenuh masa.

Jelasnya, Zulkiflee dulu pernah bekerja sebagai jurujual ekspo di Senawang sebelum kemalangan.

"Dia (Zulkiflee) tidak mahu menyambung pengajian selepas SPM kerana ingin membantu keluarga.

"Buat masa sekarang, keadaan dia umpama seperti bayi, selain fisioterapi, saya dan keluarga berdoa semoga dia dapat pulih dan kembali seperti dulu," ujarnya.

Mereka yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank (156020468923) atas nama Rosmanidar Binti Rusli.