Kenaikan paras harga insentif getah beri kelegaan kepada penoreh

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KENAIKAN paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram (kg) yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, memberi kelegaan kepada penoreh getah terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Penoreh getah dari Kampung Tanjung Piring, Nami, di sini, Mohamad Halim, 48, berkata, kenaikan itu membolehkan penoreh menambah pendapatan sekali gus meringankan beban mereka dalam menampung keperluan hidup seharian.

"Bagi saya pengumuman oleh Perdana Menteri itu satu yang menggembirakan dan kalau boleh insentif itu dinaikkan lagi pada masa akan datang mungkin ke RM4 atau RM5 sebab dalam keadaan peningkatan harga barang sekarang kenaikkan ke RM3 masih tidak cukup.

"Bagaimanapun, saya tetap ucap terima kasih kepada Perdana Menteri sebab beliau sentuh juga mengenai penoreh dan getah dalam Belanjawan kali ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat berkata, kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan IPG kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta setelah mendengar keluhan pekebun getah.

Bagi penoreh getah dari Kampung Belukar Luas, Naka, Othman Salleh, 68, pengumuman Perdana Menteri itu menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada nasib golongan sepertinya yang rata-rata bergelut dalam mencari pendapatan bagi memenuhi keperluan hidup.

Selain kenaikan paras harga pengaktifan IPG, beliau berkata, kerajaan juga perlu melihat kepada beberapa langkah lain untuk membantu penoreh getah meningkatkan pendapatan.

"Sebagai contoh, harga lantai getah sekerap mungkin boleh dinaikkan lagi kerana sudah lama harga ini tidak dinaikkan, kalau naik dapatlah penoreh menjual pada harga yang lebih tinggi sikit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penoreh getah dari Kampung Belukar Luas, Ishak Majid, 58, pula menyifatkan kenaikkan paras harga pengaktifan IPG itu boleh memberi kesan kepada pendapatan penoreh walaupun ia dilihat kecil.

"Sekarang ini saya mengambil upah menoreh di kebun orang, banyak insentif yang diberikan kerajaan hanya diterima pemilik kebun, jadi kalau boleh kerajaan beri juga kepada penoreh atau insentif itu boleh dibahagikan antara pemilik kebun dengan penoreh termasuk Bantuan Musim Tengkujuh," katanya. - Bernama