'Jangan tukar jururawat di Sabah ke Semenanjung, Sarawak'

James (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bersama Borneo Sinarmas di SICC Kota Kinabalu.
James (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bersama Borneo Sinarmas di SICC Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib meminta kerajaan mengekalkan jururawat yang bertugas di Sabah dan tidak ditukar ke Semenanjung atau Sarawak.

Beliau berkata, Sabah amat memerlukan lebih ramai jururawat untuk ditempatkan di hospital dan klinik di negeri ini.

"Saya maklumkan kepada menteri supaya jururawat yang sudah disahkan perjawatan mereka janganlah ditukar ke Semenanjung atau ke Sarawak sedangkan jururawat di Sabah ini pun kurang.

"Kalau mereka kata tiada kekosongan, mustahil tiada kosong di Sabah. Jadi saya minta supaya orang-orang Sabah kekal di Sabah, tukarlah ke tempat yang ada di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam di bawah kementeriannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu pada Isnin.

Sebelum itu, beliau diminta mengulas ucapannya berhubung isu kekurangan perjawatan bagi jururawat di Sabah ketika ini.

Tambah James lagi, beliau turut meminta supaya gred perjawatan yang ada di Sabah tidak di bawa ke Semenanjung atau ke negeri lain.

"Saya juga minta supaya jawatan-jawatan atau kemahiran yang ada di Sabah ini jangan di bawa ke Semenanjung, itu saya minta dengan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kecuali pakar-pakar yang susah itu mungkin boleh dipertimbangkan tetapi kalau seperti gred 52, 54, 48, 44 ini saya minta jangan ditarik ke Semenanjung, kekalkan di Sabah.

"Kalau ada pegawai yang pindah ke Semenanjung, pindah saja. Carilah gred di Semenanjung, kadang-kadang gred perjawatan yang sudah sah dibawa ke Semenanjung jadi kuranglah gred kita di Sabah ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, James memaklumkan satu memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bersama Borneo Sinarmas telah ditandatangani berkaitan dengan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan kepada semua rakyat di negeri ini.

"Ini adalah inisiatif kementerian saya kerana selama ini rakyat di Sabah anggap isu kesihatan tidak penting, tetapi kalau kita dapat kesan dari awal ia boleh dirawat seperti kanser, tibi dan sebagainya.

"Jadi sebagai permulaan, kita akan laksanakan pemeriksaan kesihatan ini di 10 daerah terlebih dahulu dan akan diperluaskan ke seluruh pelusuk kawasan luar bandar," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kabinet Sabah bersetuju untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada rakyat di negeri ini.