Pastikan rakyat Sabah, Sarawak beli beras import pada harga terkawal

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Pemberian subsidi bagi beras putih import (BPI) di Sabah dan Sarawak adalah untuk memastikan rakyat sentiasa mendapat akses kepada bekalan yang mencukupi pada harga terkawal.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, langkah itu penting kerana tahap permintaan tinggi bagi beras itu di Sabah dan Sarawak namun bekalan serta pengeluaran BPI di tahap yang rendah menyebabkan harganya melambung di pasaran.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu berkata, ketika ini, agak sukar untuk mendapatkan bekalan beras putih tempatan di pasaran kerana bukan musim menuai, justeru negara terpaksa bergantung kepada BPI.

"Pihak pemborong di Sabah seperti Sazarice dan TKC telah bersetuju supaya BPI yang telah dibeli oleh pasaran runcit dan pasar raya sebelum 5 Oktober dijual pada harga baharu.

"Perbezaan kos akan ditanggung oleh pihak pemborong berkenaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau harga BPI di Pasar Raya Bataras Jalan Gaya di sini pada Sabtu.

Mulai 5 Oktober lepas, kerajaan bersetuju memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik BPI di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi membolehkan ia dijual pada harga runcit RM31 untuk pek 10 kilogram.

Foong Hin juga berkata, kerajaan berusaha meningkatkan pengeluaran beras putih tempatan khususnya di Sabah melalui Program SMART Sawah Berskala Besar (SBB) di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di Kota Belud.

Beliau berkata, melalui program SBB iaitu kerjasama strategik awam-swasta bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), pesawah menggunakan peralatan moden dalam penanaman dan pengeluaran padi.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, program SBB belum dijalankan secara besar-besaran dan baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada menyatakan bahawa beliau sedang mengenal pasti 50 hektar di Sabah dan Sarawak untuk penanaman padi," katanya.

Foong Hin berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah juga bercadang untuk melaksanakan program pembangunan bersama bagi mewujudkan jelapang padi di negeri itu.

Beliau berkata, sumbangan pengeluaran padi di Sabah dan Sarawak di peringkat nasional sangat rendah iaitu antara tiga hingga empat peratus sahaja.

Mengulas penganugerahan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu kepada beliau pagi tadi yang membawa gelaran ‘Datuk,’ Foong Hin berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada DAP untuk sebarang tindakan lanjut susulan dasar parti yang tidak membenarkan ahlinya menerima sebarang darjah kebesaran.

"Tidak mudah untuk saya menolak kerana saya adalah penduduk Sabah, penganugerahan ini daripada Kerajaan Negeri jadi saya terima dengan niat yang baik, cuma sekarang terpulang kepada parti untuk (memutuskan) isu ini.

"Kita perlu menghormati keputusan dan syor Kerajaan Negeri Sabah, jadi saya menyerahkan perkara ini kepada parti,” kata Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat itu.

Foong Hin merupakan antara 50 penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah sempena ulang tahun kelahiran rasmi ke-70 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini pagi tadi. - Bernama