Buruh ditahan kes amang seksual budak di rumah pengasuh

Suspek didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun.
Suspek didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh ditahan polis semalam, setelah didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun.

Suspek lelaki yang berusia 54 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sebuah rumah di daerah Kuala Nerus susulan laporan yang dibuat keluarga mangsa di Balai Polis Gong Badak Disember lalu.

Menurut sumber, kejadian itu dipercayai berlaku sewaktu mangsa tinggal di rumah pengasuh yang terletak di daerah Kuala Nerus.

Suspek yang juga bapa saudara kepada pengasuh itu didakwa mengambil kesempatan sewaktu kanak-kanak berkenaan berada di rumah pengasuh itu dengan melakukan amang seksual.

Kejadian itu terbongkar setelah mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada keluarganya sebelum mereka bertindak membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, hasil saringan urin mendapati suspek positif methamphetamine dan proses permohonan reman terhadap suspek dilakukan di Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan suspek berkenaan berhubung kes amang seksual terhadap kanak-kanak.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Artikel Berkaitan: