Isu 373 JPKK perlu dibincang semula - Amirudin

Amirudin. Foto Bernama
Amirudin. Foto Bernama
A
A
A

GOMBAK - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor tidak tergesa-gesa dalam memuktamadkan pembahagian kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau ketua kampung.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang mencari masa sesuai untuk perbincangan mengenai hasrat Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin untuk memulangkan 20 kuota ahli majlis PBT di negeri itu bagi mendapatkan semua 373 jawatan JPKK.

Menurutnya, pihaknya yakin perkara itu mampu diselesaikan secara baik dengan mencapai situasi menang antara kedua belah pihak.

"Kita tak tergesa-gesa sebab sudah ada jawatan kuasa asas ahli majlis untuk memulakan tugas dan saya perlu berbincang untuk memahami hasrat sebenar Megat Zulkarnain.

"Perbincangan telah dibuat sebelum ini cuma ada beberapa perkara belum muktamad.

"Hal ini turut dibincangkan bersama Presiden PH-BN dan percaya akan dapat solusi menang-menang," katanya mengulas berkenaan status agihan kerusi ahli majlis PBT dan jawatan JPKK Selangor.

Beliau berkata demikian ketika Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan Parlimen Gombak di Dewan Orang Ramai Kampung Wira Damai di sini pada Ahad.

Megat Zulkarnain sebelum ini memberitahu parti itu memutuskan untuk menyerahkan semula kuota 20 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu kepada parti sekutunya, PH.

Artikel Berkaitan:

Megat Zulkarnain berkata, keputusan itu membuktikan UMNO Selangor tidak tamak jawatan atau mendesak PH memberi jawatan kepada mereka seperti dakwaan yang tersebar.

Bagaimanapun, UMNO Selangor mahu sebanyak 373 jawatan JPKK di negeri tersebut diberikan kepada parti berkenaan.

Mengulas berkenaan itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, keputusan memulangkan kuota ahli majlis yang diperuntukkan kepada UMNO itu adalah terpulang kepada parti berkenaan.

Bagaimanapun katanya, hasrat mendapatkan jawatan JPKK atau ketua kampung itu perlu dibincang semula.

"Ini kerana selepas hampir 20 tahun PH mentabdir Selangor, setiap parti dalam PH sudah mempunyai tapak dan akar umbi di kawasan tertentu.

"Cuma isunya kini perlu bergerak memperkukuh antara satu sama lain.

"Pada pandangan saya, semua parti yang terangkum dalam Kerajaan Perpaduan iaitu BN dan PH harus mengukuh dan berkembang dengan sihat dengan sokongan dan bantuan termasuk kepimpinan peringkat akar umbi.

"Penglibatan semua parti termasuk MCA dan MIC sedang diatur sebaik mungkin dan saya percaya kita mampu capai sasaran (perkukuh perpaduan)," katanya.

Tambah beliau, tiada sasaran masa diletakkan bagi memuktamadkan penyelesaian isu berkenaan.

"Pengalaman kita masa ambil tampuk pemerintahan Selangor 2008, memerlukan masa lebih setahun untuk mengisi posisi tersebut hingga tahun kedua pun belum selesai lagi.

"Begitu juga status ahli majlis dan ketua kampung, ambil masa lebih setahun untuk dimuktamadkan.

"Kita baharu beberapa bulan bentuk Kerajaan Perpaduan jadi perlu masa lama untuk bergerak capai keputusan muktamad," katanya.

Beliau bagaimanapun yakin dengan gabungan kerjasama sekarang dan menjadi harapan untuk memperkukuh semua parti dalam koalisi perpaduan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!