Kenaikan harga ubat sehingga 10 peratus beri tekanan kepada pesakit, waris

Harga ubat-ubatan dan produk farmaseutikal di Malaysia dijangka meningkat antara lima hingga 10 peratus tidak lama lagi. (Foto 123RF)
Harga ubat-ubatan dan produk farmaseutikal di Malaysia dijangka meningkat antara lima hingga 10 peratus tidak lama lagi. (Foto 123RF)
A
A
A

SHAH ALAM - Jangkaan kenaikan harga ubat dan produk farmaseutikal sehingga 10 peratus bakal memberi tekanan kewangan kepada pesakit dan waris yang kini membelanjakan hampir RM500 sebulan.

Walaupun bekerja dalam sektor kerajaan, Subramaniam Murugaya, 36, berkata, kos tersebut termasuk vitamin, suplemen kalsium tulang, susu dan lain-lain.

Menurut pemuda berasal dari Sungai Siput itu, kenaikan tersebut akan memberi kesan terhadap mental pesakit terutama warga emas.

“Ibu mentua saya menghidap hipertensi dan barah payudara tahap tiga manakala bapa mentua pula ada kencing manis. Terdapat ubat tambahan yang kami terpaksa beli di farmasi luar, kalau kenaikan harga ubat tidak dikawal saya sendiri tidak mampu nak tampung kos ini.

“Kita tidak mahu mereka yang menderita penyakit kronik terutama warga emas mengalami tekanan hidup. Malaysia mempunyai banyak hubungan baik dengan negara-negara pengeluar perubatan sudah tentu ada solusi terbaik bagi menangani masalah ini,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pada 26 Januari lalu, harga ubat-ubatan dan produk farmaseutikal di Malaysia dijangka meningkat antara lima hingga 10 peratus tidak lama lagi.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Profesor Amrahi Buang berkata, jangkaan itu berlaku sekiranya syarikat pembuatan ubat di Amerika Syarikat (AS) bertindak menaikkan harga pasaran.

Dari kiri; Subramaniam, Ming Sing dan Wan Amzar.
Dari kiri; Subramaniam, Ming Sing dan Wan Amzar.

Artikel Berkaitan:

Seorang pekerja swasta, Wan Amzar Arsyad, 26, berkata, kenaikan tersebut bukan hanya membebankan golongan warga emas, tetapi juga belia yang kini semakin ramai menghidap penyakit kardiovaskular.

Tambahnya, jika kos terus meningkat ia akan memberi kesan terhadap kewangan isi rumah terutama golongan belia yang berpendapatan rendah.

“Setiap bulan ada yang terpaksa berbelanja lebih RM200 untuk membeli ubat dari farmasi luar kerana tidak dibiayai oleh kerajaan dan jika tiada kawalan harga pasaran di Malaysia saya bimbang ia akan beri kesan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, bagi penjawat awam, Ting Ming Sing, 31, kenaikan harga produk farmaseutikal bukan sahaja tidak wajar malah ia akan memberi implikasi buruk terhadap kualiti kesihatan negara.

Menurutnya, golongan B40 dan M40 yang terpaksa mendapatkan rawatan di klinik atau hospital swasta akan terbeban dengan kenaikan tersebut.

“Saya tidak nafikan memang ramai yang dapatkan rawatan di hospital kerajaan, tetapi bukan semua orang sanggup menunggu lama menyebabkan sesetengah orang pergi ke klinik atau perkhidmatan kesihatan swasta.

“Pada pandangan saya, kerajaan boleh mempertimbangkan polisi kesihatan yang lebih baik untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.