Harga ubat dijangka naik lima hingga 10 peratus

Harga ubat-ubatan dan produk farmaseutikal di negara ini dijangka meningkat lima hingga 10 peratus tidak lama lagi. Gambar hiasan: Freepik
Harga ubat-ubatan dan produk farmaseutikal di negara ini dijangka meningkat lima hingga 10 peratus tidak lama lagi. Gambar hiasan: Freepik
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Harga ubat-ubatan dan produk farmaseutikal di negara ini dijangka meningkat antara lima hingga 10 peratus tidak lama lagi.

Memetik laporan The Star, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Profesor Amrahi Buang berkata, jangkaan itu berlaku sekiranya syarikat pembuatan ubat di Amerika Syarikat (AS) bertindak menaikkan harga pasaran.

Hal ini kerana menurutnya, lebih daripada separuh produk farmaseutikal yang memasuki negara ini diimport dari sana.

Biasanya harga akan meningkat sebanyak dua kali pada setiap tahun, katanya.

"Proses pembuatan tetap terjejas walaupun berada dalam fasa endemik kerana kelewatan menyediakan bahan mentah, farmaseutikal aktif dan penghantaran.

"Sebarang perubahan harga akan beri kesan kepada semua pihak berkepentingan termasuk pengimport, pengedar, pembekal dan peruncit," katanya ketika dihubungi media pada Jumaat.

Disember lalu, Reuters melaporkan syarikat farmaseutikal merancang untuk menaikkan harga lebih daripada 500 ubat di AS pada awal Januari ini.

Sementara itu, Wall Street Journal pada 18 Januari pula memaklumkan pengeluar menaikkan harga 775 ubat termasuk jenis Ozempic dan Mounjaro yang digunakan untuk merawat diabetes, bermula awal tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Amrahi turut menjelaskan, ubat bagi penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes cenderung lebih sensitif terhadap ketidakstabilan perubahan harga berbanding ubat demam, selesema atau sengal badan.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Shanmuganathan Ganeson berkata, harga produk farmaseutikal dan kesemua barangan keperluan akan terus meningkat disebabkan kenaikan kos input di seluruh dunia merangkumi bahan mentah, buruh, tenaga serta cukai kerajaan.

“Di negara ini akan menyaksikan peningkatan minimum dua peratus harga ubat selain kenaikan dua peratus cukai perkhidmatan terutamanya logistik mulai tahun ini.

“Ia bukan sahaja bergantung kepada kos input tetapi juga kadar pertukaran mata wang asing dengan dolar AS dan ringgit telah menurun berbanding semua mata wang utama sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan saya tak pasti berapa banyak lagi akan turun,” ujar beliau.

Dr Shanmuganathan tidak menafikan kenaikan harga ubat di AS bakal merangsang industri farmaseutikal di negara lain.