Penyelarasan prasekolah: Langkah kecil ke arah pembaharuan pendidikan

Langkah kerajaan memusatkan semua sistem pendidikan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan disambut baik ahli akademik - Gambar hiasan
Langkah kerajaan memusatkan semua sistem pendidikan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan disambut baik ahli akademik - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan memusatkan semua sistem pendidikan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan disambut baik ahli akademik yang percaya inisiatif itu akan memberi impak mendalam kepada landskap pendidikan negara.

Pengasas Emir Research, Dr Rais Hussin yang memuji keputusan kerajaan itu berkata, langkah berkenaan perlu menjadi sebahagian daripada pembaharuan yang lebih luas dan segera bagi mereformasikan keseluruhan ekosistem pendidikan di negara ini, selaras dengan amalan terbaik global.

Bagi mencapai tujuan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan beberapa perubahan dasar untuk memulihkan kesaksamaan pendidikan di negara ini, seperti memberikan subsidi pendidikan awal, sama seperti model yang berjaya dilaksanakan oleh Kanada, Denmark, Finland, Jerman dan New Zealand.

Menekankan kepada keperluan menyeluruh, Rais mencadangkan supaya dasar pemilihan sekolah dan pengesanan kelas berdasarkan prestasi dinilai semula.

Beliau berpendapat bahawa amalan sedemikian menyumbang kepada perbezaan sosioekonomi dan menggesa peralihan kepada sistem pendidikan yang serupa dengan sistem di Belgium, Jepun, Belanda, Norway, Singapura dan lain-lain.

"Selain itu, negara-negara terkemuka dalam pendidikan menghapuskan atau menangguhkan proses pemilihan sekolah, kelas atau trek yang berbeza di sesebuah sekolah berdasarkan prestasi dan/atau mata pelajaran individu.

"Negara seperti Belgium, Jepun, Belanda, Norway, Singapura dan lain-lain telah menggunakan pendekatan ini.

"Dengan bukti empirikal yang banyak, jelas bahawa amalan pengasingan ini merugikan pelajar daripada latar belakang sosioekonomi yang lebih rendah, menyumbang kepada pengekalan dan peningkatan ketidaksamaan berdasarkan kawasan, sosial dan jantina.

"Sebaliknya, penangguhan atau penghapusan pengasingan itu didapati, sekurang-kurangnya, tidak memberi kesan negatif kepada prestasi keseluruhan," katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan dilaporkan berkata kurikulum prasekolah akan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan bagi memperkemaskan sistem berkenaan.

Pada 22 Januari lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan untuk mengkaji semula sistem pendidikan prasekolah, bagi memastikan sistem itu mendapat kemudahan tambahan bagi menambah baik proses pembelajaran.

Beliau berkata, Malaysia ketinggalan dalam menyediakan kemudahan kepada prasekolah termasuk dari segi pendigitalan.

Perdana Menteri turut menggesa Menteri Pendidikan untuk meneliti keseluruhan sistem prasekolah.

Rais berpendapat antara perkara mendesak yang perlu diteliti kerajaan ke arah usaha mengembalikan semula kesaksamaan pendidikan ialah kualiti pendidik di semua peringkat, terutama di peringkat prasekolah dan rendah, kerana kejayaan seseorang pelajar banyak bergantung kepada guru berimpak tinggi.

"Pengajaran tidak boleh sewenang-wenangnya diberikan kepada mereka yang tidak dapat mencari penempatan lain dalam industri.

"Di negara berpendidikan tinggi, sekurang-kurangnya ijazah Sarjana adalah keperluan biasa bagi seorang guru di sekolah di semua peringkat, dalam usaha untuk membawa lebih banyak ilmu kepada amalan pedagogi (seni, sains atau profesion pengajaran).

"Bagaimanapun, mereka biasanya memegang dua ijazah Doktor Falsafah (iaitu) satu dalam pendidikan dan satu lagi dalam bidang pengajaran masing-masing.

"Sebagai contoh, di Finland, menjadi guru lebih mencabar daripada menjadi doktor perubatan. Jerman, Jepun, Belanda, Singapura dan Switzerland merupakan beberapa negara lain yang serius dalam bidang perubatan atau undang-undang," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, insititusi prasekolah dalam negara yang diuruskan oleh pelbagai entiti kerajaan dan swasta dilihat sebagai bercelaru dan perlu diperkemas.

"Bila kita selaraskan kita akan nampak dengan jelas di mana keperluan untuk bantu anak-anak kita di kawasan luar bandar, anak-anak miskin dan sebagainya.

"Sekarang ini kita tak jelas dan penyelarasan ini akan menyebabkan guna sumber tenaga guru, peruntukan dapat diselaraskan dengan lebih baik.

"...sekali gus akan menyebabkan penggunaan peruntukan akan jadi lebih berkesan, tidak semestinya menjimatkan tetapi lebih berkesan selain sumber manusia dapat diseragamkan. Jadi pada saya hal ini sesuatu yang baik,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan infrastruktur khususnya Internet perlu juga perlu diberikan perhatian kerana kanak-kanak akan lebih bermotivasi untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran selain guru-guru juga perlu dilengkapi dengan kemahiran psikologi pembelajaran kanak-kanak.

"Pada saya apa yang telah dilakukan atau dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu perkara yang baik.

"Kita nak meningkatkan atau memperkasakan kualiti pendidikan awal kanak-kanak dengan menyelaraskan, meningkatkan infrastruktur dan pada saya perkara ini adalah satu permulaan yang baik untuk membina satu sistem pendidikan yang lebih berkualiti pada masa hadapan,” katanya. - Bernama