Jawatankuasa teknikal teliti isu keselamatan, jenayah dalam talian bakal diwujudkan

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Foto fail Bernama
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Satu jawatankuasa teknikal melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri akan diwujudkan bagi meneliti isu melibatkan keselamatan dan jenayah dalam talian di negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa itu juga akan berpandukan maklumat diterima daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengenai aktiviti seperti penjualan dadah dan perjudian dalam talian serta sebaran video jelik.

Beliau berkata, baru-baru ini ada ada individu yang ditahan pihak berkuasa kerana antara lain mengedar video lucah dengan niat untuk mendapatkan bayaran pelanggan melalui aplikasi Telegram.

"Kita lihat terdapat kelompongan dalam pelbagai platform media sosial sekarang di mana berlaku pelbagai jenis jenayah. Maka jemaah menteri telah memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa teknikal.

"Ini adalah dengan hasrat untuk meneliti undang-undang sedia ada serta undang-undang di negara lain yang mungkin aspeknya sesuai manfaat dengan keperluan dalam Malaysia untuk menjamin keselamatan terutama kanak-kanak dalam menggunakan media sosial dan melayari Internet,” katanya pada sidang media di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan berkata, keanggotaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan diketahui selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Mengenai bilakah penubuhan suruhanjaya itu, kita perlu tunggu pengumuman rasmi tetapi saya tidak fikir ia akan mengambil masa terlalu lama, insya-Allah," katanya.

Persetujuan Jemaah Menteri untuk menubuhkan RCI itu diumumkan Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut memutuskan sistem pendidikan tadika selepas ini akan diselaraskan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan mengumumkan mengenainya dalam kenyataan berasingan kelak.

Beliau berkata, ini kerana sistem pendidikan prasekolah agak rencam dan pelbagai, yang kadangkala mendapat aduan daripada ibu bapa mengenai kualiti pendidikan yang berbeza.

"Kita ingin pastikan supaya dapat disediakan untuk rakyat, terutama bagi golongan berpendapatan rendah, pendidikannya adalah berkualiti dan kurikulumnya dapat diselaraskan untuk memastikan aspek pendidikan itu lebih terjamin," katanya.

Pada masa sama, Fahmi berkata, aspek kurikulum agama juga akan diselaraskan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan kualiti pendidikan itu dapat diselaraskan.

Mengenai pekeliling berkaitan lantikan penjawat awam yang hanya akan dilakukan secara kontrak bermula 1 Februari ini, Fahmi berkata, pekeliling itu bersifat sementara sehingga kajian semula skim saraan bagi penjawat awam selesai.

Justeru, beliau berkata, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz akan mengeluarkan kenyataan yang lebih lanjut dan terperinci mengenai isu berkenaan dalam masa terdekat.

"Cuma peringatan yang ingin saya sampaikan kepada rakan-rakan media ialah untuk mendapatkan maklumat penuh daripada, sebolehnya dalam kes seperti ini daripada KPPA dan daripada sumber yang sahih.

"Ini supaya kita tidak mewujudkan satu keadaan yang mencemaskan atau tidak benar dari segi apa yang sebenarnya dimaksudkan melalui sebarang sebaran atau dokumen yang dihantar keluar daripada jabatan termasuk JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam)," katanya.