Tentera Darat gagalkan cubaan seludup 1.74 tan daun ketum

Bungkusan mengandungi daun ketum yang ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan hutan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.
Bungkusan mengandungi daun ketum yang ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan hutan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.
A
A
A

KUALA NERANG - Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludup 1.7 tan daun ketum di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia pada Jumaat.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan tugas rondaan berkenderaan telah menemui sebuah kenderaan pacuan empat roda pada jam 7.15 pagi.

"Kenderaan jenis Isuzu D-Max V-Cross Space Cab yang mencurigakan ditemui di kawasan hutan berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand.

"Hasil siasatan mendapati 116 bungkusan mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan 1,740 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM52,200 berada dalam kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, kesemua bungkusan dan kenderaan tersebut dengan anggaran nilai keseluruhan RM150,200 kemudiannya diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara dan akan terus memastikan keselamatan sempadan terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan: