Kastam gagalkan cubaan seludup dadah dalam bagasi

Sazali (tiga dari kanan) menunjukkan dadah dibungkus dan diletakkan dalam satu kotak permainan dan enam kotak makanan ketika cuba dibawa keluar dari negara oleh seorang lelaki warga tempatan di KLIA Sepang pada 27 September lalu.
Sazali (tiga dari kanan) menunjukkan dadah dibungkus dan diletakkan dalam satu kotak permainan dan enam kotak makanan ketika cuba dibawa keluar dari negara oleh seorang lelaki warga tempatan di KLIA Sepang pada 27 September lalu.
A
A
A

SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan dua percubaan menyeludup masuk dan keluar dadah di negara ini bernilai RM1.3 juta.

Helah menyeludup masuk dadah dalam bagasi yang diubah suai itu tidak berjaya, selepas taktik tersebut dibongkar oleh JKDM Zon Tengah, Unit III LTAKL.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, bagi kes pertama, pihaknya menahan seorang lelaki warga Korea berusia 83 tahun di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 pada 27 September jam 9 pagi.

"Hasil pemeriksaan dilakukan ke atas dua bagasi yang dibawa suspek menemui dua bungkusan berwarna perak disembunyikan dalam beg tersebut," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo dekat sini pada Rabu.

Kata beliau, bungkusan tersebut disyaki mengandungi bahan disyaki dadah berbahaya jenis kokain dengan anggaran berat kasar 3.85 kilogram (kg) yang mempunyai harga pasaran sebanyak RM770,000.

"Mahkamah membenarkan permohonan reman selama 15 hari ke atas suspek iaitu sehingga 12 Oktober ini.

"Berdasarkan siasatan awal, dadah ini dibawa masuk ke Malaysia untuk pasaran dalam negara," katanya.

Mengulas kes kedua, Sazali berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia 21 tahun pada 27 September lalu, selepas suspek mengambil bagasi di unit 'lost and found' milik sebuah syarikat penerbangan di KLIA.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek sebelum itu membatalkan penerbangannya ke luar negara dan datang kembali ke KLIA bagi menuntut bagasi yang telah diperiksa masuk (check in).

Bagaimanapun menurutnya, semasa melalui mesin pengimbas bagasi, anggota JKDM bertugas telah mengesan objek dan imej kehijauan yang mencurigakan.

Jelas beliau, semasa pemeriksaan bagasi dilakukan, pihaknya telah menemukan 14 bar (paket) yang mengandungi mampatan serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar 4.95kg bernilai RM438,000.

Selain itu katanya, pemeriksaan rapi turut menemukan lima peket bungkusan mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis ketamin dengan anggaran berat kasar 1kg yang dianggarkan bernilai RM60,000.

"Kesemua dadah yang dirampas diletakkan dalam satu kotak permainan dan enam kotak makanan di dalam bagasi suspek.

"Siasatan awal mendapati dadah jenis heroin dan ketamin itu telah diterima suspek daripada sindiket yang dipercayai bergiat aktif di Lembah Klang untuk dibawa keluar dari Malaysia.

"Kedua-dua suspek yang ditahan bagi dua kes tersebut dipercayai menjadi keldai dadah," ujarnya.

Tambah beliau, kedua-dua kes tersebut disiasat bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.