Hulu Dungun dilanda bah besar selang 10 tahun sekali

Keadaan rumah yang terjejas selepas dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan sejak petang Khamis. Gambar kecil dari kiri: Kamarah, Mohd Azrol
Keadaan rumah yang terjejas selepas dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan sejak petang Khamis. Gambar kecil dari kiri: Kamarah, Mohd Azrol
A
A
A

DUNGUN - Banjir yang melanda beberapa kampung di kawasan Hulu Dungun, di sini disifatkan lebih buruk berbanding banjir besar yang melanda pada 2014.

Antara kampung terjejas di kawasan itu melibatkan Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor, Kampung Jongok Batu dan Kampung Belimbing.

Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Din Adam berkata, banjir besar berlaku di kawasan itu selang 10 tahun dan kali ini paling besar apabila air mula naik mendadak di beberapa kawasan berkenaan sejak petang Khamis.

Din (kiri) meninjau keadaan banjir di Kampung Jongok Batu dan Kampung Belimbing di Dungun, pada Jumaat.
Din (kiri) meninjau keadaan banjir di Kampung Jongok Batu dan Kampung Belimbing di Dungun, pada Jumaat.

"Biasanya, banjir besar di kawasan ni bermula pada 1984, 1994, 2004, 2014 dan kali ini pada 2024. Bermakna selang 10 tahun sekali akan berlaku banjir besar di sini.

"Saya terpanggil untuk meninjau kawasan ini apabila ada rakan-rakan yang berkongsi gambar tular mengenai situasi buruk di sini. Ia merupakan banjir kali keempat untuk musim tengkujuh kali ini dan yang disifatkan paling besar sekali, lebih besar berbanding 2014.

"Saya difahamkan dua kampung iaitu Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor di sini masih belum boleh dilalui sehingga kini kerana telah terputus hubungan," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Jongok Batu, di sini, pada Jumaat.

Beliau memberitahu, terdapat dua buah rumah hilang selepas dihanyutkan air di Kampung Shukor yang terletak kira-kira 4 kilometer (km) dari kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Ada rakyat yang ditimpa musibah banjir sehingga kehilangan rumah. Sebuah rumah hilang dan sebuah lagi musnah terus dibadai arus deras.

"Mungkin ada kaedah bagi pihak bertanggungjawab untuk selesaikan masalah ini yang sudah tentunya dapat membantu meringankan bebanan rakyat," ujarnya.

Banjir besar melanda kawasan itu berikutan hujan lebat berterusan dan peningkatan mendadak paras air Sungai Dungun pada petang Khamis.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jongok Batu, Mohd Azrol Md Yasid berkata, seramai 60 keluarga dari Kampung Jongok Batu dan Kampung Belimbing, di sini dipindahkan ke dua PPS.

"Kesemua 29 penduduk di Kampung Belimbing berpindah dalam banjir kali ini. Ada rumah dinaiki air yang naik sehingga melebihi 12 meter mencecah atap rumah.

"Kesemua mereka dipindahkan ke balai raya dan masjid di kampung ini dan setakat ini air masih bertahan dan ada nampak tanda-tanda untuk surut," ujarnya.

Seorang penduduk, Kampung Belimbing, Kamarah Mat Muda, 70, berkata, dia berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Jamek Kampung Jongok Batu, di sini jam 6 petang pada Khamis.

"Air mula naik jam 12 tengah hari namun pada sebelah petang mula mendadak sehingga mencecah hampir dua meter di dalam rumah. Saya segera berpindah apabila pasukan keselamatan tiba di rumah

"Setiap kali banjir memang kami sekeluarga akan berpindah dan kali ini adalah kali keempat kami pindah untuk musim tengkujuh kali ini dan ia banjir paling teruk lebih buruk berbanding pada 2014," katanya.

Sehingga jam 2 petang Jumaat, seramai 2,166 mangsa banjir dari 589 keluarga dipindahkan ke 33 buah PPS di empat buah daerah di Terengganu iaitu Dungun (952 mangsa), Besut (732), Hulu Terengganu (346) dan Setiu (136).