Dua lelaki rugi lebih RM458,985 terpedaya pelaburan tidak wujud

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Dua lelaki kerugian lebih RM458,985 setelah terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud menggunakan platform 'Accerx' di laman sosial.

Kedua-dua mangsa dari Temerloh masing-masing berusia 47 dan 56 tahun itu berminat menyertai pelaburan tersebut bagi memperolehi keuntungan ratusan ribu hingga jutaan ringgit.

Namun, harapan mereka untuk menjadi kaya dalam masa singkat musnah, sebaliknya wang simpanan mereka lesap.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa pertama adalah peniaga barangan elektrik menyertai skim pelaburan itu pada September tahun lalu melalui Facebook.

Menurutnya, suspek kemudian memperkenalkan kepada mangsa mata wang digital menggunakan platform 'Accerx'.

"Mangsa mula membuat pindahan tukaran mata wang digital sebanyak RM3,000 dan melakukan transaksi berikutnya kerana tertarik dengan paparan di 'Accerx' yang menunjukkan keuntungan wang lebih RM20 juta.

"Mangsa menggunakan semua wang simpanan berjumlah RM383,000 dengan melakukan 16 kali transaksi ke enam akaun bank berlainan dan seterusnya mengalami kerugian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Yahaya berkata, menggunakan modus operandi yang sama, pesara bank berusia 56 tahun turut menjadi mangsa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pada Ogos tahun lalu, mangsa mula membuat pindahan tukaran mata wang digital sebanyak RM500.

"Mangsa melakukan transaksi berikutnya kerana tertarik dengan paparan di 'Accerx' yang menunjukkan keuntungan wang RM109,985.45.

"Sebanyak enam transaksi ke enam akaun bank berlainan dilakukan membabitkan kerugian RM75,985.45," jelasnya.

Yahaya memberitahu, kedua-dua mangsa menyedari tertipu selepas suspek memaklumkan bahawa seseorang telah membuat aduan ke atas nama mangsa di Bahagian Penggubahan Wang Haram dan mangsa dikehendaki mengeluarkan kesemua wang keuntungan.

Katanya, mangsa terlebih dahulu diminta untuk membayar satu peratus daripada jumlah keuntungan.

"Jika mangsa gagal membuat bayaran, wang keuntungan tersebut akan hilang," katanya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan menjanjikan keuntungan yang lumayan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.