Penganggur menyamar pegawai SPRM 'songlap' cek masjid

Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Azam)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Azam)
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditahan selepas cuba menunaikan sekeping cek bernilai RM30,000 milik sebuah masjid di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada jam 2 petang, pengadu memaklumkan seorang lelaki telah datang ke pejabat masjid, pada jam 2 petang.

"Pengadu yang juga bendahari masjid memaklumkan lelaki warga tempatan itu kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Pegawai SPRM.

"Suspek mendakwa terdapat masalah dalam pengurusan akaun masjid dan meminta pengadu mengeluarkan buku cek untuk semakan serta pemeriksaan sebelum suspek beredar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Azam berkata, sejam kemudian, pengadu telah menerima panggilan telefon dari pihak bank memaklumkan terdapat sekeping cek telah cuba ditunaikan, namun telah ditolak.

"Hasil semakan pengadu mendapati sekeping cek telah hilang selepas pemeriksaan suspek," ujarnya.

Beliau berkata, suspek berusia 34 tahun itu telah ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada jam 1.35 petang, Rabu.

"Hasil semakan mendapati suspek yang juga penganggur mempunyai dua rekod lampau kes jenayah, manakala ujian air kencing didapati postiif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Suspek telah direman empat hari bermula Rabu hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam," katanya.