Ridzwan dilantik sebagai Ketua Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia

Ridzwan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia berkuat kuasa 1 Oktober.
Ridzwan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia berkuat kuasa 1 Oktober.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) melantik Dr Ridzwan Bakar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif YWM baharu berkuat kuasa mulai 1 Oktober.

YWM dalam satu kenyataan berkata, Ridzwan memiliki kelulusan Doktor Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Mara dan Sarjana Pengurusan Kewangan dari University Of Hull, United Kingdom dan Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Selain itu, beliau juga memiliki pengalaman luas melebihi 21 tahun dalam sektor korporat dan bidang Kewangan Sosial Islam khususnya wakaf.

“Sebelum ini, Ridzwan berkhidmat sebagai Pengarah Yayasan Multimedia Malaysia (MMU) dan Pensyarah Profesional di MMU sejak tahun 2011 malah beliau juga merupakan seorang akauntan yang bertauliah dan pakar rujuk dalam bidang Kewangan Sosial Islam dan Wakaf.

“Sebelum menyertai MMU sepenuh masa, beliau mempunyai pengalaman lebIh 21 tahun dalam sektor korporat dengan menerajui jawatan sebagai Ketua Jabatan Strategi Korporat, Kewangan Korporat, Akauntan di Telekom Malaysia, TMNet Sdn. Bdn, Projek Multimedia Super - Corridor (MSC) dan Sapura Holdings,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, Ridzwan sering kali menerajui beberapa perundingan dan penasihat berimpak tinggi dalam bidang wakaf.

Antaranya memegang jawatan sebagai Ahli Perunding Wakaf Brunei Darussalam pada tahun 2021 hingga 2022 dan pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM pada 2019 hingga 2021.

Jelas YWM lagi, kini Ridzwan turut mengetuai beberapa projek berskala besar iaitu sebagai Pengerusi Blueprint Islamic Socio Economy for Malaysia (DSEU), Ahli Pakar Penasihat Waqf Smart City Pahang dan Malaysia Islamic Accounting Standards for Baitulmal, Zakat and Waqf (PPIBZW Accountants’ General, Malaysia).

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, beliau juga aktif dan mengetuai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bendahari dan Ahli Majlis, Tindakan Wakaf Antarabangsa (iWaqf); Pengasas dan Pemilik Sekolah, Pondok Al-Quran Wakaf Pasentren Miftahulkhoir (MQBS), Bandung, Indonesia dan Tabung Warisan Kesihatan (TWKK).

Kata YWM, dengan pengalaman yang ada pada Ridzwan, pihaknya percaya beliau akan memperkukuhkan lagi operasi dan gerak kerja yayasan sekali gus memacu pembangunan wakaf di Malaysia.