Pengurus syarikat rugi RM422,173 diperdaya perniagaan kesihatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengurus syarikat kerugian RM422,173 selepas diperdaya skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang menawarkan perniagaan kesihatan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerima aduan daripada lelaki tempatan berusia 38 tahun tersebut pada Selasa.

Menurutnya, kejadian bermula pada Disember lalu selepas mangsa berminat dengan tawaran perniagaan kesihatan dengan pulangan lapan peratus bagi setiap pembelian.

"Mangsa yang tertarik dengan dengan pulangan dijanjikan telah melakukan 43 transaksi pembayaran secara dalam talian ke dalam lima akaun bank berbeza dari 6 Disember 2023 sehingga 21 Januari 2024.

"Jumlah keseluruhan transaksi tersebut RM422,173.12. Pembayaran itu adalah untuk membeli barangan dan mangsa dijanjikan wang akan dikembalikan berserta komisen lapan peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun ujar beliau, apabila mangsa meminta bayaran balik dan komisen dijanjikan, suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran tambahan selain memberikan pelbagai alasan yang membuatkan lelaki itu sedar ditipu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan yang mudah, cepat dan tinggi," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau meminta orang ramai menggunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan Jabatan Siasatan dan Jenayah Komersil (JSJK) seperti National Scam Centre, CCID Infoline, Semak Mule dan Facebook JSJK pihak polis bagi mendapatkan maklumat sebelum membuat transaksi.