Gangguan air: Penyelam berdepan arus deras, sukar apit saluran paip

Pekerja sedang menjalankan Pelan A iaitu memotong bahagian bawah pengapit berat kepada beberapa bahagian untuk memudahkan pengikatan pada paip bawah air yang bocor. - Foto Facebook PBAPP
Pekerja sedang menjalankan Pelan A iaitu memotong bahagian bawah pengapit berat kepada beberapa bahagian untuk memudahkan pengikatan pada paip bawah air yang bocor. - Foto Facebook PBAPP
A
A
A

GEORGE TOWN - Pelan A yang sedang dilaksanakan ketika ini di Sungai Perai menghadapi kesukaran berikutan arus air di dasar sungai berkenaan pada awal pagi Khamis.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataannya berkata, berikutan kejadian itu, penyelam menghadapi masalah untuk mengapit semula saluran paip bawah air di sungai itu.

"Penyelam menghadapi masalah untuk mengapit semula saluran paip bawah air pada awal pagi tadi.

"Disebabkan keadaan air yang mengalir deras, mereka tidak dapat meletakkan bahagian bawah pengapit berat dengan betul pada tempatnya untuk diikat," kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, kakitangannya sedang meneroka semua pilihan rasional untuk menyelamatkan Pelan A.

"Sehingga jam 9.30 pagi ini, 50 peratus kerja pengapitan semula berjaya dilaksanakan. Oleh itu, pemulihan bekalan air kepada 84 peratus daripada 120,000 pengguna terjejas belum selesai.

"Sama juga dengan pemulihan bekalan air kepada baki 16 peratus pengguna terjejas (termasuk di hujung paip agihan dan kawasan tinggi) yang kita jangkakan selesai pada pagi Sabtu, belum selesai," katanya lagi.

Sementara itu, PBAPP berkata, Pelan B iaitu pengalihan saluran paip yang melibatkan penyambungan dua saluran paip 600 milimeter (mm) dan pemotongan sambungan 1,350mm paip di bawah air sedang dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, penyediaan kerja-kerja penyediaan tapak berada di tahap 70 peratus siap sementara kerja-kerja lain belum selesai.

"Kita akan terus mengemaskini kemajuan kerja-kerja bagi kedua-dua pelan ini dari masa ke masa," katanya.

Pada Rabu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menasihatkan 120,000 pengguna di daerah Barat Daya dan bahagian selatan Timur Laut supaya menyimpan air untuk tempoh seminggu sekiranya Pelan A yang dijalankan ketika ini gagal.

Pelan A melibatkan proses mengapit semula lubang 1.15x 0.65 meter (m) pada bahagian saluran paip bawah air 1,350 milimeter (mm) yang bocor.

Katanya, sekiranya Pelan A berjaya, 84 peratus daripada 120,000 pengguna yang terjejas akan mula mendapat bekalan air pada Jumaat ini.

Bagaimanapun sekiranya Pelan A gagal, PBAPP akan meneruskan Pelan B yang sedang dijalankan ketika ini.

Pelan B adalah untuk mempercepatkan kerja-kerja persediaan untuk pengoperasian dua saluran paip 600mm baharu untuk menggantikan saluran paip bawah permukaan air.

Pelan B dijangka mengambil masa 21 hari dan dijadualkan siap pada 2 Februari ini namun ia akan dipercepatkan.

Selasa lalu, bahagian saluran paip 1,350 mm di dasar Sungai Perai dikesan mengalami kebocoran yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air kepada kira-kira 120,000 pengguna di negeri ini.