Sistem PR lebih telus: Ilham Centre

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Firma penyelidik bebas, Ilham Centre menyifatkan sistem pelaksanaan perwakilan berkadar (PR) lebih telus berbanding sistem sedia ada iaitu First Past The Post (FPTP).

Ketua penyelidiknya, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, ini kerana hanya parti atau gabungan parti yang paling popular akan membentuk kerajaan melalui sistem itu berbanding sistem FPTP yang membolehkan parti kalah undi popular tetapi berjaya membentuk kerajaan apabila memiliki kerusi yang lebih.

Menurutnya, melalui pelaksanaan sistem PR itu ia dapat memberi nilai tambah kepada setiap undi rakyat namun ia perlu dibentangkan secara terbuka bagi memberi kefahaman kepada rakyat secara menyeluruh.

“Secara prinsip, saya setuju supaya cadangan pelaksanaan sistem PR oleh Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) ini dibentang dan diperbahaskan secara menyeluruh untuk diimplementasi dalam sistem pilihan raya kita.

“Pelaksanaan sistem baharu tentu sekali berhadapan dengan pelbagai kekangan dan kelemahan.

“Jadi, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap sebarang kemungkinan kelemahan tersebut supaya tidak mencacatkan elemen demokrasi dalam sistem pilihanraya negara kita,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan ERC untuk menggantikan sistem sedia ada iaitu FTP kepada sistem PR untuk kerusi Parlimen.

Sebelum ini, Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dilaporkan berkata, jawatankuasa itu akan mengusulkan kepada kerajaan untuk menggantikan sistem pilihan raya sedia ada kepada PR.

Artikel Berkaitan:

Menurut Abdul Rashid, sistem PR disifatkan lebih adil dan demokratik selain menggalakkan parti politik untuk melebihkan khidmat mereka kepada rakyat selain menjadikan mereka lebih bersatu padu.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, sistem PR yang dicadangkan itu akan memberi nilai kepada setiap suara rakyat yang disuarakan melalui undi mereka dalam pilihan raya.

Katanya, melalui sistem sedia yang diamalkan kini, parti yang menang akan menang semua manakala parti yang kalah akan kalah semua dan ini menyebabkan seolah-olah suara pengundi yang mengundi calon dan parti yang kalah langsung tidak bernilai.

“Melalui PR, walau kalah di sesuatu kawasan pilihan raya, suara pengundi tidak akan disia-siakan lagi, bahkan undi itu akan dihitung untuk peratusan keseluruhan bagi menentukan bilangan wakil sesuatu parti di dewan rakyat.

“Kaedah ini memberi lebih makna kepada setiap pengundi serta memberi lebih makna kepada parti-parti politik yang bertanding,” katanya.

Selain itu katanya, sistem PR itu juga akan memberi peluang kepada parti-parti kecil mempunyai wakil di Dewan Rakyat apabila memiliki peratusan undi yang mencukupi, walau secara relatifnya mereka mustahil untuk memenangi mana-mana kawasan Parlimen menggunakan kaedah FPTP sedia ada.