Ketegangan Iran-AS semakin memuncak

Warga Iran memegang sepanduk anti-AS ketika demonstrasi di Teheran kelmarin susulan serangan yang membunuh Mejar Jeneral Qasem Soleimani di Baghdad, Iraq. -Foto AFP
Warga Iran memegang sepanduk anti-AS ketika demonstrasi di Teheran kelmarin susulan serangan yang membunuh Mejar Jeneral Qasem Soleimani di Baghdad, Iraq. -Foto AFP
A
A
A

BAGHDAD - Satu lagi serangan udara menyasarkan pejuang pro-Iran di Iraq dilaporkan berlaku awal pagi tadi di sebalik kebimbangan memuncak tercetusnya perang antara Washington dan Teheran susulan serangan dron Amerika Syarikat (AS) yang membunuh seorang komander tertinggi Iran semalam.

Pembunuhan komander tertinggi Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Mejar Jeneral Qasem Soleimani merupakan kemuncak paling dramatik dalam kemelut Iran-AS dengan Washington berikrar menghantar lebih ramai tentera ke rantau berkenaan meskipun Presiden Donald Trump menegaskan beliau tidak mahukan peperangan.Serangan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad kelmarin itu turut mengorbankan timbalan ketua pasukan separa tentera Iraq, Hashed al Shaabi, Abu Mahdi al-Muhandis dan lapan lagi mangsa lain.

Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majid Takht Ravanchi memberitahu CNN, serangan tersebut merupakan tindakan perang oleh pihak AS.

Menurut sumber tentera Iraq, serangan udara terkini yang menyasarkan pasukan Hashed al Shaabi berlaku berhampiran Taji, utara Baghdad dan membunuh enam orang serta mencederakan tiga yang lain. Seorang pegawai AS menafikan serangan itu dilancarkan oleh pihak Amerika.

Dilaporkan dua daripada tiga kenderaan konvoi ditemui terbakar di samping enam mayat rentung susulan serangan yang berlaku pada jam 1.12 pagi (waktu Baghdad).

Serangan mengenai salah satu konvoi perubatan berhampiran sebuah stadium di Taji namun tiada pemimpin kanan dilaporkan terbunuh.

Ketika Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menjanjikan tindakan balas dendam, Presiden Trump berkata, beliau membuat keputusan ‘menghapuskan’ Soleimani selepas mendapatinya bersedia melancarkan serangan terhadap diplomat dan tentera AS.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Iraq, Adel Abdel Mahdi bersama beberapa kenamaan lain menghadiri perarakan pengebumian Soleimani dan al-Muhandis di Baghdad yang disertai ribuan warga Iraq yang melaungkan slogan anti-AS.

Artikel Berkaitan:

Keranda dibawa ke daerah Kadhimiya sebelum menuju ke sebuah kawasan berhampiran Zon Hijau yang menempatkan bangunan kerajaan dan kedutaan asing untuk upacara rasmi.

Mayat warga Iran akan dihantar pulang ke negara asal di mana Teheran telah mengisitiharkan tempoh berkabung selama tiga hari berikutan kematian Soleimani.

Soleimani dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Kerman, tengah Iran pada Selasa ini. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Iran tidak akan terburu-buru serang AS