Israel lancar serangan udara di Tebing Barat

Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas bandar Jenin di Palestin pada awal pagi Isnin yang menyasarkan infrastruktur penduduk Palestin. - Foto Reuters
Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas bandar Jenin di Palestin pada awal pagi Isnin yang menyasarkan infrastruktur penduduk Palestin. - Foto Reuters
A
A
A

TEL AVIV - Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas bandar Jenin di Palestin pada awal pagi Isnin yang menyasarkan infrastruktur penduduk Palestin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Serangan udara itu yang mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang warga Palestin terbunuh, menandakan serangan besar-besaran dengan nama kod "Rumah dan Taman", menurut laporan media Israel.

Kem pelarian Jenin, yang disifatkan oleh tentera sebagai kubu kuat pejuang Palestin juga menjadi sasaran serangan.

"Kami tidak akan berdiam diri sementara pejuang Palestin terus mencederakan orang awam menggunakan Kem Jenin sebagai tempat persembunyian,” ciap Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Menurut The Jerusalem Post, agensi perisikan domestik Shin Bet Israel berkata, serangan udara itu mengenai pusat arahan dan komunikasi yang digunakan sebagai depoh senjata, pusat perhimpunan pejuang Palestin dan pos pemerhatian, serta sasaran lain.

Menurut laporan itu, terdapat gangguan bekalan elektrik di seluruh Jenin.

Menurut laporan Palestin, askar Israel memasuki bandar itu sejurus selepas serangan udara dan bertempur dengan pejuang kemerdekaan Palestin.

Jenin, di utara Tebing Barat muncul sebagai kubu kuat pejuang kemerdekaan Palestin. Bandar itu sering menyaksikan konfrontasi maut antara tentera Israel dan pejuang kemerdekaan Palestin.

Selepas serangan oleh dua rakyat Palestin yang mengakibatkan kematian ke atas empat warga Israel di Tebing Barat dua minggu lalu, berlaku keganasan besar-besaran berulang oleh peneroka Israel terhadap penduduk Palestin.

Sejak itu, tentera Israel melakukan lebih banyak serbuan di Tebing Barat, menyebabkan pertempuran berulang antara penduduk Palestin dan tentera Israel.

Sejak awal tahun ini, lebih 130 rakyat Palestin terbunuh dalam konfrontasi dengan tentera Israel. Dalam tempoh yang sama, 22 warga Israel, seorang wanita Ukraine dan seorang warga Itali terbunuh dalam serangan. - Bernama