[VIDEO] Ebit Lew imamkan solat jenazah Bella

A
A
A

JOHOR BAHRU - Pendakwah terkenal, Ebit Lew berharap ahli keluarga Allahyarham Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella bersabar dengan dugaan yang menimpa mereka.

Ebit Lew berkata, ALLAH sangat dekat dengan individu yang ditimpa musibah.

"Kehadiran saya ke sini (Johor Bahru) adalah untuk menziarahi keluarga Bella bagi memberi sedikit sumbangan dan semangat, Nabi bersabda sesiapa yang ditimpa musibah ALLAH akan beri kebaikan sama banyak.

"Mudah mudahan ALLAH memberi kesabaran, rahmat dan kebaikan mencurah-curah kepada keluarga ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada Rabu.

Terdahulu, Ebit Lew turut berkesempatan mengimamkan solat jenazah buat Allahyarham Bella di HSI.

Ebit Lew ditemui pemberita selepas mengimamkan solat jenazah Bella di Jabatan Perubatan Forensik HSI, Johor Bahru pada Rabu.
Ebit Lew ditemui pemberita selepas mengimamkan solat jenazah Bella di Jabatan Perubatan Forensik HSI, Johor Bahru pada Rabu.

"Ya, saya imamkan solat jenazah di dalam tadi, nanti di Masjid di Batu Pahat, ada solat jenazah lagi sekali," katanya.

Rangka mayat Bella ditemukan di sebuah rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, Batu Pahat pada 19 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Van yang membawa jenazah Bella keluar meninggalkan pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HSI pada jam 2.50 petang Rabu untuk dibawa ke Masjid Jamek Dato' Bentara Luar, Batu Pahat.

Selepas itu, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Banang Jaya, Batu Pahat pada Rabu.

Teman lelaki kepada ibu tunggal dua anak itu, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Rabu atas pertuduhan menyebabkan kematian Bella pada penghujung Disember lalu.

Untuk rekod, Bella dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu setelah ahli keluarganya gagal menghubunginya ketika keluar ke dobi sambil ditemani teman lelakinya itu dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih sebelum membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, kakaknya, Norisham, 36, memaklumkan adiknya itu hilang selepas beberapa hari tidak dapat dihubungi, namun pelik apabila dompet yang mengandungi pengenalan diri, pakaian yang hendak dibasuh serta kunci rumah ada di kediaman Bella.

Lima suspek termasuk teman lelaki Bella telah ditahan selama tujuh hari mulai 25 Disember 2023 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Selepas 38 hari kehilangan Bella, polis Johor akhirnya berjaya mengesan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Jumaat lalu.

Tiga suspek termasuk teman lelaki Bella ditahan reman sekali lagi bermula 21 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah pada Selasa akhirnya mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka yang ditemui adalah milik Bella susulan sampel patalogi rangka tersebut sepadan dengan DNA yang diambil daripada kakak serta ibunya.