Pelajar Tingkatan Tiga, dua rakan didakwa rompak guna parang, besi

Naufal Izmeiel (dua dari kiri) dan Muhammad Ridzuan (belakang, tengah) mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata di Mahkamah Sesyen di Melaka, pada Rabu.
Naufal Izmeiel (dua dari kiri) dan Muhammad Ridzuan (belakang, tengah) mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata di Mahkamah Sesyen di Melaka, pada Rabu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga bersama dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas tiga tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata pada Disember tahun lalu.

Tertuduh berusia 15 tahun bersama Naufal Izmeiel Abdullah, 24, dan Muhammad Ridzuan Mat Nasir, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama dua orang yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dan besi hingga menyebabkan kecederaan terhadap lima warga Bangladesh.

Tertuduh turut didakwa mengambil wang tunai berjumlah RM1,700 dan empat telefon bimbit.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di kebun sayur Kampung Melekek, Kampung Kandang Kambing dan kebun buah Jalan Kemus, Simpang Ampat di sini, kira-kira jam 10 malam hingga 11.40 malam antara 3 November hingga 19 Disember 2023.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap kesemua tertuduh.

Peguam Mohammad Zaki Abdul Shukor yang mewakili Muhamad Ridzuan merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 bagi setiap pertuduhan bagi pesalah juvana sementara jaminan RM18,000 kepada Naufal Izmeiel dan Muhammad Ridzuan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 27 Februari depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan pelajar terbabit antara enam individu ditahan kerana disyaki terlibat samun bersenjata terhadap warga asing.

Kesemua suspek berjaya ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan IPD Sik, Kedah dalam dua serbuan berasingan pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung tiga kejadian samun terhadap warga Bangladesh di rumah kongsi dalam kebun pada 3, 4 dan 20 Disember lalu.

Menurutnya, berikutan itu pihaknya telah membuat risikan dan menubuhkan pasukan khas sebelum berjaya menahan ketiga-tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun bersenjatakan parang, besi dan batang buluh.