[VIDEO] Warga asing pandu van hantar barang tanpa lesen

A
A
A

PUCHONG - Tindakan sebuah syarikat penghantar barang menggajikan lelaki warga Pakistan sebagai pemandu sejak beberapa bulan terbongkar apabila ditahan dalam operasi berdekatan Plaza Tol Puchong Selatan pada Selasa.

Individu berumur lingkungan 30-an itu didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor itu.

Ketika ditahan, seorang individu lain mendakwa wakil syarikat berkenaan cuba merayu anggota JPJ untuk melepaskan warga asing terbabit bersama van terbabit.

Sebuah van dipercayai dipandu seorang lelaki warga Pakistan ditahan dalam operasi bersepadu berdekatan Plaza Tol Puchong Selatan pada Selasa. FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
Sebuah van dipercayai dipandu seorang lelaki warga Pakistan ditahan dalam operasi bersepadu berdekatan Plaza Tol Puchong Selatan pada Selasa. FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID

Bagaimanapun, tindakan individu berkenaan ternyata sia-sia apabila van itu disita untuk tindakan lanjut pihak JPJ.

Operasi sama turut menahan beberapa lelaki warga asing menaiki motosikal dan mendakwa kenderaan itu milik individu lain.

Azrin
Azrin

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata, operasi bersepadu ini dijalankan secara serentak melibatkan dua lokasi iaitu Plaza Tol Puchong Selatan dan Plaza Tol Damansara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, operasi yang dijalankan bermula jam 8.45 malam ini melibatkan kekuatan seramai 142 pegawai dan anggota terdiri daripada JPJ Selangor, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), kakitangan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) dan lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

"Operasi ini melibatkan pemeriksaan sebanyak 1,217 kenderaan antaranya kereta, lori, motosikal dan bas.

"Sebanyak 583 kesalahan dan notis saman dikeluarkan antaranya melibatkan tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada lesen memandu perkhidmatan awam (PSV), tiada cukai jalan dan pelbagai kesalahan lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Plaza Tol Puchong Selatan di sini pada Selasa.

Anggota JPJ menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa kenderaan dalam operasi bersepadu berdekatan Plaza Tol Puchong Selatan pada Selasa. FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
Anggota JPJ menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa kenderaan dalam operasi bersepadu berdekatan Plaza Tol Puchong Selatan pada Selasa. FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID

Katanya, operasi ini merupakan salah satu inisiatif JPJ Selangor untuk memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.

"Ia diadakan bagi memastikan pematuhan undang-undang berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipatuhi oleh pengguna.

"Selain itu, ia bagi memastikan piawaian teknikal dan keselamatan kenderaan yang digunakan dalam keadaan selamat dan tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya.