Wanita warga asing antara dua individu diberkas curi kabel

Wanita warga asing antara dua individu ditahan dipercayai terlibat dalam kes curi kabel di Kuala Ampang pada Ahad. Foto hiasan
Wanita warga asing antara dua individu ditahan dipercayai terlibat dalam kes curi kabel di Kuala Ampang pada Ahad. Foto hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang wanita warga asing antara dua individu ditahan dipercayai terlibat dalam kes curi kabel di Kuala Ampang dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki empat individu dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota polis bertugas kemudiannya bertindak menahan MPV berkenaan, pemandu yang merupakan wanita warga asing tidak sempat melarikan diri.

"Bagaimanapun, tiga lagi rakannya berjaya melarikan diri ketika polis menahan kenderaan terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan kemudian menemukan beberapa gelung kabel berukuran anggaran 90 meter diletakkan di bahagian belakang penumpang MPV itu.

"Selain itu, satu alat pemotong kabel turut ditemui di bahagian but kenderaan berkenaan.

"Wanita warga asing yang ditahan itu bersama barangan rampasan kemudiannya dibawa balik ke Balai Polis Hulu Kelang untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada tangkapan suspek kedua berdekatan sebuah kuil di sini.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu diberkas kira-kira jam 7.20 pagi oleh anggota Balai Polis Hulu Kelang.

"Kedua-dua suspek kini direman dan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!