Lapan lagi ahli Geng Upik dalam buruan polis

Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan gambar individu yang dicari polis untuk siasatan kes sindiket dadah terbesar di Sabah.
Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan gambar individu yang dicari polis untuk siasatan kes sindiket dadah terbesar di Sabah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lapan termasuk lima warga asing diburu polis dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah terbesar di Sabah iaitu Geng Upik.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka yang diburu ialah Haibil Kiraman, 48, iaitu bekas anggota polis yang bersara pada 1 November 2021 dengan lokasi akhirnya di Tawau, Sabah.

Menurutnya, dua lagi warga tempatan ialah Absar Musa, 37, dan Sahairul Din Sabudin, 37, dengan lokasi akhir masing-masing di Kota Kinabalu dan Tawau.

"Seterusnya ialah empat warga Filipina iaitu Muhammad Sing Harun Musa, Joel Edwin, Hasan Syamsuddin dan Manan Ungok dengan lokasi akhir masing-masing di Tawau dan Papar, Sabah.

"Seorang lagi ialah wanita warga Indonesia, Rohani Mhd Yunus dan lokasi akhirnya di Tawau," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Selasa.

Beliau berkata, mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohammad Izzat Hassan di talian 019-6667535.

Mengulas lanjut berkenaan sindiket terbabit, Ayob Khan berkata, terdapat 42 pembekuan akaun bernilai RM1.86 juta bagi tempoh 27 Disember tahun lalu hingga 19 Januari lalu yang mana terdapat penambahan pembekuan lapan akaun berjumlah RM543,378.58.

"Antara pembekuan harta dan penyitaan ialah 10 jentera, 11 hartanah, 20 kenderaan, wang tunai RM35,041 dan barang kemas (RM100,000).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan harta adalah RM9.72 juta," katanya.

Mengenai 11 individu termasuk seorang bergelar datuk didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, pada Isnin, Ayob Khan berkata, dua daripada mereka ialah polis berpangkat Inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta anggota berpangkat Sarjan yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Kita tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana pegawai polis atau penjawat awam yang terlibat dalam sindiket ini. Kita akan cari, kesan, tangkap dan cukup bukti akan tuduh di mahkamah," ujarnya.